KUALA LUMPUR: Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK) Malaysia, komponen kedua terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan sumbangan sebanyak 23.1 peratus daripada keseluruhan ekonomi, susut pada 2.1 peratus daripada 1.4 peratus pada tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzie Mahidin berkata, ini berikutan prestasi perlahan sektor pembuatan, perlombongan dan pengkuarian serta pembinaan.
Sektor perkhidmatan dan pertanian bagaimanapun mencatatkan pertumbuhan positif.
“PMTK Malaysia pada harga semasa merekodkan RM346.8 bilion manakala PMTK pada harga malar berjumlah RM328.4 bilion,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata pertumbuhan sektor perkhidmatan adalah perlahan iaitu 1.5 peratus (2018: 5.5 peratus) disebabkan oleh kemerosotan dalam kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan.
“Sebaliknya, pengangkutan dan penyimpanan serta maklumat dan komunikasi susut 0.4 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Mohd Uzir berkata PMTK bagi sektor pembuatan menguncup sebanyak kepada 10.1 peratus daripada 2.6 peratus disebabkan oleh penurunan sebanyak 16.9 peratus bagi produk petroleum, kimia, getah dan plastik.
Menurutnya, produk elektrik, elektronik dan optikal dan peralatan pengangkutan turut memperlahankan prestasi keseluruhan sektor pembuatan yang menyusut 6.8 peratus.
“Produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka dan produk tekstil dan kayu turut masing-masing menyusut 7.4 peratus dan 7.6 peratus,” katanya.
Beliau berkata PMTK bagi sektor perlombongan dan pengkuarian bertambah baik kepada negatif 9.1 peratus daripada pertumbuhan negatif 11.0 peratus pada tahun sebelumnya manakala sektor pembinaan menyusut 1.4 peratus berbanding 4.3 peratus pada 2018.
Sebaliknya beliau berkata sektor pertanian mencatat pertumbuhan 0.2 peratus berbanding -1.8 peratus sebelumnya, berikutan pertumbuhan positif dalam ternakan dan perikanan sebanyak 5.3 peratus.
Mohd Uzir berkata struktur kekal sebagai penyumbang terbesar kepada PMTK mengikut jenis-jenis aset dengan sumbangan 58.5 peratus dan merosot 0.6 peratus.
Perolehan aset tetap bagi peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan lain-lain jentera dan peralatan serta aset lain masing-masing menyusut sebanyak 4.0 peratus dan 5.4 peratus.
“Sektor swasta yang menyumbang 72.8 peratus merupakan pendorong utama pelaburan Malaysia dengan pertumbuhan 1.6 peratus.
“Namun begitu, sektor awam merekodkan sumbangan lebih kecil pada 27.2 peratus pada 2019.
Mohd Uzir berkata, aktiviti perkhidmatan dan pembuatan menjadi pemacu utama PMTK bagi sektor swasta. – Bernama