Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Sarawak komited transformasi sektor pertanian menjelang 2030
  • TEMPATAN

Sarawak komited transformasi sektor pertanian menjelang 2030

Utusan Sarawak 6 hours ago
TIMBALAN Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dr Abdul Rahman Ismail mewakili menterinya, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom merasmikan Persidangan Kebangsaan Petani 2025 di salah sebuah hotel terkemuka, di sini tengah hari tadi. Foto: Akun Giman

SIBU: Sarawak telah merekodkan imbangan dagangan defisit barangan makanan sejumlah RM6.44 billion pada tahun 2024.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dr Abdul Rahman Ismail berkata, jumlah pengimportan makanan bagi Sarawak adalah sejumlah RM7.62 bilion, manakala pengeksportan makanan adalah sejumlah RM1.18 bilion. 

Katanya, ini menunjukkan Sarawak adalah bergantung kepada pengimportan makanan untuk memenuhi permintaan pasaran. 

“Oleh yang demikian, kerajaan Sarawak komited untuk mentransformasikan sektor pertanian ke arah yang berdaya saing dan berorientasikan teknologi moden. 

“Transformasi pertanian bukan sebagai keperluan, malah ia merupakan peluang untuk meneroka potensi Sarawak sebagai hab pengeluaran makanan bagi memastikan keterjaminan makanan di masa hadapan serta mencapai status sebagai pengeksport bersih makanan menjelang tahun 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mewakili menterinya, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom merasmikan Persidangan Kebangsaan Petani 2025 di salah sebuah hotel terkemuka, di sini tengah hari tadi.

Katanya, para petani mesti memanfaatkan penggunaan teknologi, analitik data dan penyelidikan saintifik bagi mengoptimumkan pengeluaran, mengurangkan pembaziran dan memastikan kelestarian. 

“Inovasi mesti diterapkan di setiap peringkat, dari ladang ke meja makan. Pendekatan tradisional dalam kegiatan pertanian dan pengeluaran makanan mestilah berubah. 

“Amalan ‘Kais Pagi Makan Pagi, Kais Petang Makan Petang’ mesti ditinggalkan. Pertanian merupakan perniagaan dan bukan hanya sekadar sara diri,” tegasnya.

Katanya lagi, pengamalan teknologi pertanian perlu dipergiatkan bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti produk demi memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa. 

“Elemen teknologi mampu membina daya tahan sektor pertanian serta menarik minat golongan muda dan menjadikan pertanian sebagai pilihan utama kerjaya.

“Pertanian bukan lagi kerja 3D (Dirty, Difficult & Danger) malah, ia merupakan kerjaya yang dapat mendatangkan pulangan yang lumayan.

“Justeru itu, saya menggalakkan lebih ramai usahawan, termasuk golongan muda dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), untuk menceburi bidang ini sebagai sumber kekayaan baharu,” kata beliau.

Beliau berkata, dalam usaha transformasi sektor pertanian ke arah yang lebih moden, mampan dan berdaya saing, peranan sektor swasta adalah amat penting dan tidak boleh dipandang ringan. 

“Sektor swasta merupakan pemangkin kepada inovasi dan penggunaan teknologi moden seperti mekanisasi dan automasi, Internet of Things (IoT), pertanian pintar dan sebagainya.

“Kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta perlu dipergiatkan. Sehubungan itu, sektor swasta adalah digalakkan untuk mengambil bahagian secara aktif dalam inisiatif-inisiatif yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan,” tambahnya.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh, ADUN Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek, Setiausaha Politik Premier Sarawak, Joshua Ting serta yang lain.

Oleh Akun Giman

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Tuai rumah dan ketua kampung sebar luas projek kerajaan
Next: Golongan muda diingatkan waspada sindiket penipuan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.