
KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menggagalkan dua cubaan menyeludup petrol bersubsidi bernilai lebih RM54,000 ke luar negara dalam dua operasi di Bukit Bunga, Tanah Merah sejak dua hari lepas.
Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata dalam operasi pada 3.30 petang Selasa lepas, pihaknya menahan seorang wanita warga Thailand berusia 52 tahun yang memandu kereta Toyota Camry di kawasan tempat letak kereta berhampiran sebuah pasar raya di Bukit Bunga, yang disyaki cuba menyeludup bahan api itu ke negara jiran.
Beliau berkata wanita itu dipercayai cuba menyeludup petrol bersubsidi ke Thailand selepas mengisi minyak dua kali pada hari sama, dengan jumlah keseluruhan hampir 117 liter, di sebuah stesen minyak.
“Suspek mengaku petrol itu akan dijual secara borong kepada ejen tempatan di sempadan sebelum dijual semula secara runcit di Thailand,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata pihaknya menyita kenderaan suspek bersama kira-kira 45 liter petrol dalam tangki diubah suai, bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 dan Seksyen 10 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Azman berkata dalam operasi bersepadu bersama Batalion 8, Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara sekitar 9.00 pagi semalam pula, pihaknya merampas lima kenderaan bernombor pendaftaran tempatan yang didapati menyimpan 420 liter petrol bersubsidi, yang ditinggalkan di Taman Guru, Bukit Bunga.
Pemeriksaan mendapati bahagian tangki minyak empat Proton Waja dan sebuah Proton Wira itu telah diubah suai, dipercayai bagi tujuan menyeludup bahan api tersebut ke negara jiran.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan rampasan diserahkan kepada KPDN Tanah Merah untuk tindakan lanjut. — Bernama