
PADA satu pagi hari Krismas ketika keseorangan di pejabat kerana rakan yang lain sedang bercuti, saya dikejutkan dengan hantaran melalui faksimili.
Saya ingat ia antara berbelas hantaran di mesin faksimili saban hari seperti biasa diterima di bilik berita mana-mana organisasi media.
“Ahh, pagi-pagi lagi dah ada kenyataan media. Entah apa berita pula pada hari cuti umum begini,” keluh saya dalam hati.
Seperti biasa, saya ambil bahan hantaran di mesin faks, dan melihat secara pantas, takut ada kenyataan penting yang perlu saya uruskan dengan segera untuk bahan berita.
Kemudian saya terhenti seketika apabila membelek antara hantaran diterima di mesin faks, berbunyi:
“Mr James Ricthie. Where your promises? – Bruno Manser.
Itu hantaran ringkas dihantar mat salleh bernama ‘Bruno Manser’, rakyat Switzerland yang tinggal bertahun-tahun secara haram bersama kaum Penan dalam hutan di Utara Sarawak.
Saya cuba beberapa kali membuat panggilan kepada James untuk memberitahu hantaran ditujukan kepadanya.
Akhirnya saya letak sahaja hantaran itu di atas mejanya.
Ketika itu, James adalah ‘staff correspondent’ akhbar berbahasa Inggeris, The New Straits Times di pejabat cawangan di Kuching, manakala saya pula wakil Berita Harian di pejabat sama.
Kedua-dua akhbar nasional ini yang beribu pejabat di Kuala Lumpur adalah di bawah syarikat yang sama dan berpejabat cawangan di Jalan Satok, Kuching, bersebelahan pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Ketika itu adalah 1980-an dan saya tidak ingat tahun berapa.
Apabila bersua dengan James keesokan harinya, dia cuma gelak apabila terbaca hantaran daripada Bruno Manser itu.
Saya yang agak ‘junior’ ketika itu segan untuk bertanya lebih lanjut kerana menghormati James sebagai wartawan yang jauh lebih ‘senior’ dan berpengalaman.
Saya akui banyak belajar mengenai dunia kewartawanan daripadanya.
Pada masa itu, penggunaan mesin faksimili masih berleluasa, belum ada telefon mudah alih kecuali jenis telefon bergerak ATUR (Automatic Telephone Using Radio) dan kebanyakan wartawan masih menggunakan mesin taip.

Ketika itu, nama Bruno Manser, rakyat Switzerland yang dikatakan memperjuang nasib kaum Penan di pedalaman Sarawak, bukan asing lagi tetapi pihak kerajaan Malaysia dan kerajaan Sarawak sendiri menganggap Bruno Manser sebagai penghasut kaum Penan untuk menyekat kegiatan pembalakan.
Ini sekali gus meletakkan nama Bruno yang pernah digelar media sebagai ‘Raja Putih’ kaum Penan, dalam senarai ‘diburu’ pihak berkuasa di negara ini.
Kecoh seluruh Sarawak dengan kehadiran ‘orang putih’ jauh dalam hutan di utara negeri ini dan isu ini kemudian menarik perhatian dunia.
Dua kali Manser dikatakan berjaya meloloskan diri daripada ditangkap polis di hutan belantara termasuk tindakannya terjun ke dalam sungai arus deras untuk ke seberang di Ulu Baram.
Tetapi sebagai wartawan berpengalaman dan kerap membuat liputan berbentuk jenayah ketika berkhidmat di Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Sarawak, James Ritchie mempunyai misi tersendiri iaitu mencari Bruno Manser.
James pernah memberitahu bosnya di Kuala Lumpur iaitu Editor Kumpulan NST, P.C Shivadas bahawa dia sedang mengusahakan satu berita besar ‘scoop’ iaitu mencari ‘Wild Man of Borco’ (kemudian didedahkan sebagai Bruno Manser).
Shivadas memberi kebenaran tetapi dengan pesanan ‘Awak perlu balik dengan berita atau jika tidak…”
BERMULA DI LUBOK ANTU
Bermula dari situlah James memulakan misi besarnya tetapi berdepan dengan pelbagai rintangan dan cabaran.
Ini turut diceritakan dalam buku tulisannya bertajuk ‘Bruno Manser, The Inside Story’ diterbitkan pada 1994.
Segala-galanya bermula pada Ogos 1985 di sebuah kantin di Lubok Antu ketika menunggu ketibaan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (kemudian Tun) untuk merasmikan Empangan Hidro Batang Ai.
“Anda tidak pernah dengar mengenai Orang Putih, yang masuk secara haram ke negara ini dan hidup bersama orang Penan?,” kata Justine Jinggut, Ahli Parlimen Kapit ketika itu memberitahu James.
“Come on Ritchie, you’re not doing your job.” tambah Justin. ‘What… You must be joking,” celah James.

Pihak polis ketika itu, enggan memberitahu butiran lanjut dengan alasan tiada butiran terperinci cuma tahu dia (Bruno Manser) orang Eropah yang sedang menetap bersama masyarakat Penan.
Bermula dari situlah, James mula memasang niat untuk ‘memburu’ Bruno Manser.
James memulakan perjalanan di kem balak di Ulu Limbang, kemudian ke Ulu Baram, patah balik ke Kuching dalam misi yang belum berjaya, kemudian sambung semula.
Ketika itu, usaha James bagaikan ‘gagal’ kerana beberapa siri berita ditulisnya untuk akhbar NST macam tiada penghujung, tidak berhasil untuk menemui Bruno Manser dalam hutan tetapi kos agak tinggi.
“Hentikan usaha cari Manser. Ini arahan,” kata Ketua Editor NST kepada James.
Namun, James tidak berputus asa, sebaliknya mengambil cuti dan menggunakan duit sendiri untuk meneruskan misi mencari Bruno Manser.
Ketika itu, saya pernah tanya James, mengapa beli tembakau bersama daun apong sedangkan saya tidak pernah melihat dia hisap rokok.
James juga tidak suka bau asap rokok.
“Ini untuk bekalan saya, beri pada orang Penan nanti,” katanya.
Sejak isu Bruno Manser, saya kerap bersama James minum bersama Justine Jinggut. Saya cuma ‘tukang dengar’. Sekali-sekala isteri James, Helen Tan – ketika itu masih pramugari MAS, turut sama.
Malah saya tahu James turut belajar bahasa asas orang Penan daripada kawan-kawan bagi membolehkannya berkomunikasi dengan orang Penan.
Antaranya David Kala, anak Penan pertama memegang jawatan SAO (pegawai pentadbir Sarawak), seorang yang lembut bahasanya dan mudah mesra.
Setelah beberapa kali keluar masuk hutan di Utara Sarawak, akhirnya James berjaya menemui Bruno Manser di sebuah pondok kecil dalam hutan pada suatu malam November 1986 dengan bantuan seorang rakan bernama Peterus Lawai.
Tetapi dua minggu sebelum itu, Manser memberi pesanan kepada James melalui Peterus bahawa rakyat Swiss itu enggan menemuinya berikutan siri artikel ditulis oleh James.
“Dia (Manser) bersama parang di pinggang, amat marah kepada anda. Saya beritahu dia (Manser) perlu jumpa awak dan beritahu cerita sebenar,” cerita Peterus kepada James melalui panggilan radio telefon.
Pada Jumaat, 14 November 1986 James sekali lagi pergi ke Long Seridan.
Kali ini dia menumpang helikopter digunakan kru RTM untuk membuat rakaman mengenai masyarakat Penan.
James terpaksa menawarkan temuramah eksklusif bersama Bruno Manser untuk mendapatkan penerbangan percuma.
Menggunakan helikopter adalah satu-satunya cara masuk ke pedalaman kecuali anda sanggup naik bot, land cruiser dan meredah hutan berhari-hari.
James bersama dua jurukamera RTM Mustakim Osman and Suhaimi Jeman menuju ke kuarters kediaman Peterus sebaik helikopter mendarat.
Peterus adalah wakil tunggal Jabatan Penerbangan Awam (DCA), kini dikenali sebagai Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan di Long Seridan ada landasan kapal terbang untuk pesawat kecil.
(Menurut James, Peterus pada mulanya ingat Bruno Manser mendapat kebenaran untuk membuat penyelidikan dan pernah tinggal bersamanya seketika di Long Seridan selain menggunakan alamatnya untuk urusan surat menyurat dari luar negara).
PERTEMUAN DALAM HUTAN
Peterus kemudian menghilangkan diri selepas 6.00 petang, manakala James bersama Mus dan Suhai (nama panggilan kami yang kenal mereka berdua) berehat di kuarters.
“Kira-kira 7.00 malam, terdengar suara Peterus memanggil dari luar, diikuti ketukan pada pintu. Sebaik muncul Peterus kata – OK kita jalan sekarang. Dia (Bruno Manser) menunggu kita,” kata James seperti diceritakan dalam artikelnya di NST.
Pendekkan cerita, menurut James, sepanjang pertemuan lebih dua jam itu, Bruno Manser kadang-kala marah, dengan siri laporannya serta menafikan dia bagaikan Raja Penan, diusung dalam hutan.
Kadangkala Manser berlembut apabila ditanya mengenai sesuatu yang memuji keberaniannya.
Menurut James, Manser kelihatan bukan seperti orang Eropah, saiz kecil, gigi kekuningan dan mengenakan cermin mata ala John Lennon selain disyaki menghidap malaria.
Manser juga kelihatan mirip Gandhi ketika merenung jauh.
“Saya duduk pada jarak kira-kira tiga kaki daripada dia. Saya tidak mahu terlalu dekat, takut dia bertindak secara tidak rasional. Dia bersenjatakan parang yang diletak sebelah kirinya, pada hal saya cuma ‘bersenjata’ sebuah pen,” cerita James.
“There’s something I want to ask you. Who told you that the Penan were carrying me on their backs when I feel weak? That’s bullshit,” kata Manser marah-marah ketika interview itu kepada James.
Bagaimanapun kata James, mereka bertiga tidak pasti sama ada wujud beberapa pengawal peribadi Bruno Manser dari kalangan orang Penan dalam gelap di sekeliling pondok kecil dalam hutan ketika pertemuan itu, kerana bagi orang Penan Manser adalah ‘Lake Penan’ (orang Penan).
Apakah Manser pula tidak terfikir yang dua kru RTM bersama James itu sebenarnya komando untuk menyamar dan menangkap dia hidup-hidup, kerana memang sedang dikehendaki polis dan imigresen negara ini?
Setelah mengetahui cerita pertemuannya dengan Bruno Manser hingga pelarian Swiss itu marah-marah dengannya, baru saya kaitkan dengan bahan faksimili dihantar Manser ke pejabat kami di Kuching yang berbunyi: “Mr James Ricthie. Where your promises? – Bruno Manser. Saya tidak pasti sama ada hantaran itu dibuat sebelum atau selepas pertemuan itu.
Manser dikatakan datang ke Sarawak pada 1984, menggunakan visa pelawat untuk menyertai kumpulan ekspedisi ke Gunung Mulu, Miri dan Baram.
Dia mengambil keputusan untuk mencari suku Penan seorang diri sehinggakan dia kehabisan bekalan makanan.
Akhirnya, dia berjaya juga menemui orang Penan berdekatan dengan Hutan Limbang.
Lalu, dia membuat keputusan untuk menetap di sana.
Apapun, pendedahan eksklusif James mengenai temuramah dengan Bruno Manser di dalam hutan, adalah berita ‘scoop’ terbesar di negara ini pada era pertengahan 1980-an yang disiarkan di akhbar NST. Berita ini menggemparkan seluruh negara.
Agensi berita asing dari Zurich dalam laporannya pada 22 Disember 2000 melaporkan Bruno Manser (berusia 47 tahun ketika itu) dipercayai mati selepas kembali ke Borneo, pada Mei tahun itu untuk meneruskan kempen antipembalakan di hutan wilayah Sarawak.
Ia memetik Polis Malaysia sebagai berkata, mereka tidak menemui bukti menunjukkan Manser, yang diusir dari Sarawak pada 1999 dan dilarang memasuki semula negeri ini, berada di bumi Malaysia.
Bagaimanapun, Tabung Bruno Manser (BMF) menegaskan dia menyeberang masuk ke Sarawak dari Kalimantan, Indonesia sebelum hilang.
“Kami sudah menerima hakikat (kematiannya). Jika Bruno Manser masih hidup, sudah tentu dia ditemui,” kata Setiausaha BMF, John Kuenzli. Manser dipercayai ‘ghaib’ selepas mendaki Bukit Batu Lawi, Sarawak seorang diri iaitu gunung yang curam.
Menurut agensi berita asing, itulah kali terakhir kelibat Manser dilihat dan sejak itu, tiada lagi berita mengenai keberadaan Bruno Manser.
James Ritchie meninggal dunia Sabtu lalu di Hospital Umum Sarawak (SGH) pada usia 75 tahun, akibat serangan jantung.
Mendiang tidak pernah memberitahu penyakit dihidapi ketika kali terakhir saya menemuinya ketika kami sama-sama menerima anugerah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuching Mei tahun lalu.
Saya terkejut melihatnya memakai tongkat, dan bila ditanya, katanya kaki dia sakit.
“Nanti tolong papah, pegang tangan saya naik ke pentas,” bisik James kepada saya yang duduk di sebelahnya.

Sebaliknya pula berlaku apabila Anwar sendiri diiringi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turun dari pentas dan berjalan ke arah meja kami untuk menyampaikan anugerah kepada James.
Mendiang James Ritchie dilahirkan di Pulau Pinang namun dibesarkan di Sarawak setelah bapanya, Datuk Seri John Ritchie, yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis pertama di negeri ini.
Yang di-Pertua Negeri sekarang, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkhidmat sebagai Aide-de-Camp (ADC) kepada John Ritchie pada 1968.
Mendiang James Ritchie sentiasa menganggap dirinya sebagai anak jati negeri Sarawak.
Kata-kata ‘Hati Mauk Baik’ adalah ‘trade mark’ James Alexander Ritchie.
Selamat tinggal kawan. Moga tenang di sama.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.