
Penumpang menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah, Karachi, Pakistan selepas banyak penerbangan domestik dan antarabangsa membatalkan penerbangan akibat serangan terbaru India dan Pakistan. - Foto AFP
BANGKOK: Serangan rentas sempadan antara India dan Pakistan menyebabkan sebahagian besar syarikat penerbangan bertindak melakukan pembatalan, mengelak ruang udara di zon konflik dan menggunakan laluan penerbangan alternatif.
Kedua-dua negara jiran yang sekian lama bermusuhan itu berbalas tembakan artileri berat di sepanjang sempadan mereka yang dipertikaikan selepas India melancarkan serangan terbaru sebagai tindak balas terhadap serangan berdarah di Kashmir, bulan lalu.
Antara syarikat penerbangan yang mengambil langkah mengubah haluan adalah Korean Air.
Bagi penerbangannya dari Incheon, Seoul ke Dubai, syarikat dari Korea Selatan itu menggunakan laluan selatan yang merentasi Myanmar, Bangladesh dan India, bukannya laluan kebiasaan, melalui ruang udara Pakistan.
“Kami sedang memantau keadaan (semasa) untuk perubahan selanjutnya,” kata seorang pegawai Korean Air kepada AFP.
Sementara itu, China Airlines, berkata beberapa penerbangan dilencongkan atau dibatalkan.
Dua penerbangan dari Taipei ke Frankfurt dan Amsterdam ‘membuat lencongan teknikal ke Bangkok’ sebelum kembali ke ibu negara Taiwan.
Tiga penerbangan dari Taipei ke Prague, Rom dan London dibatalkan pada semalam dan hari ini.
“China Airlines terus memantau keadaan dan akan melakukan penyelarasan jadual penerbangan mengikut keperluan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, EVA Air berkata, pihaknya akan menyesuaikan penerbangan menuju dan dari Eropah berdasarkan keadaan semasa untuk mengelak daripada melalui ruang udara terjejas.
Ia dibuat demi memastikan keselamatan anak kapal dan penumpang.
Menurut syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan, bagi penerbangan dari Vienna ke Bangkok, ia akan berpatah balik ke ibu negara Austria manakala penerbangan dari Taipei ke Milan akan dilencongkan ke Vienna untuk mengisi minyak dan kemudian terus ke bandar Itali.
Syarikat penerbangan kebangsaan Russia, Aeroflot, berkata semua penerbangannya dari Moscow dan dari India, Thailand, Sri Lanka, Maldives dan Seychelles akan diubah haluan.
Selain itu, Singapore Airlines turut memaklumkan mengubah haluan penerbangannya untuk mengelak melalui ruang udara Pakistan.
Syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) mengubah laluan dua penerbangan dari Kuala Lumpur, yang pertama ke Heathrow, London dan destinasi kedua, keCharles de Gaulle, Paris.
Penerbangan itu akan singgah di Doha sebelum meneruskan perjalanan.
MAS turut menggantung semua penerbangan ke dan dari Amritsar, India sehingga Jumaat ini.
Thai Airways pula berkata, ia mengubah laluan penerbangan ke destinasi di Eropah dan Asia Selatan pada Rabu bermula 5 pagi untuk mengelak ruang udara Pakistan, selain turut memberi amaran kemungkinan berlaku kelewatan.
Tambahnya, sekurang-kurangnya lapan penerbangan ke bandar Eropah terjejas, manakala penerbangan pergi balik yang dijadualkan dari Bangkok ke Islamabad hari ini dibatalkan.
Air France memberitahu, pesawatnya akan mengelak terbang melintasi ruang udara Pakistan sehingga diberitahu kelak dan memberi amaran, tempoh penerbangan dianggarkan menjadi lebih panjang bagi perkhidmatan penerbangan ke beberapa destinasi iaitu New Delhi, Bangkok dan Bandar Ho Chi Minh.
Sri Lanka Airlines pula berkata, penerbangannya tidak terjejas dan tiada perubahan bagi empat penerbangan mingguannya ke Lahore dan Karachi, Pakistan. – AFP