SARIKEI: Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) dilaksanakan di Sarawak bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk mendiami kediaman yang selesa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, PPRMS adalah inisiatif Kerajaan Sarawak dibawah Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bagi membantu rakyat Sarawak yang kurang berkemampuan memiliki rumah yang selesa.
“Melalui PPRMS, rumah mereka yang layak dibaikpulih supaya lebih selesa dan selamat untuk diduduki.
“Terima kasih kepada Abang Jo kerana mengilhamkan projek ini bagi membantu rakyat untuk memastikan rakyat Sarawak dapat hidup dalam keadaan selesa dan gembira.
“Sebagai wakil rakyat di Repok, saya akan sentiasa bekerja keras untuk rakyat di kawasan saya,” katanya.
Dalam pada itu, pasukan Pusat Khidmat N45 Repok mewakili Huang telah menjalankan tinjauan setiap hari supaya lebih memahami keperluan rakyat dan memberi penyelesaian untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.
Bagi memastikan golongan sasar menerima bantuan dari PPRMS ini, pasukan Pusat Khidmat N45 Repok telah mengunjungi rumah-rumah panjang sekitar kawasan Repok untuk mencari golongan sasar yang layak.
Oleh Earl Anek