
KUCHING: Pertubuhan Nadi Sihat bakal bekerjasama dengan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2025 melalui penganjuran Jelajah Perpaduan Kayuhan Sihat Borneo 2025.
Menurut Setiausaha Nadi Sihat, Fahisha Irwan Mustapha, ketika ditemui selepas kunjungan hormat ke Ibu Pejabat JAPEN Sarawak semalam, program jelajah ini dijadual bermula pada 4 Ogos di Simpang Mengayau, Kudat, Sabah dan berakhir di Teluk Melano, Lundu pada 18 Ogos. Ia melibatkan 28 hentian (checkpoint) merentasi laluan sejauh 1,868.2 kilometer.
“Seramai 20 peserta pelbagai kaum akan mengambil bahagian dalam kayuhan ini, disertai oleh sembilan buah kenderaan pengiring. Program ini berteraskan tiga agenda utama iaitu Perpaduan dan Integrasi Nasional, Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan Semarak Bulan Kemerdekaan 2025,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat JAPEN Sarawak, Roszilawati Nor Aziz, mengalu-alukan kolaborasi strategik bersama Nadi Sihat dalam memperkasa sambutan bulan kebangsaan tahun ini.
“Kita akan menyelaras pelaksanaan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) serta program-program lain sepanjang Ogos ini, dalam usaha menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara,” katanya.
Antara acara utama dalam siri Jelajah Perpaduan Kayuhan Sihat Borneo termasuk Larian Santai Sihat Malaysia di Putatan, Sabah, Wellness On Wheel (WOW), Larian Move More (MoMo Run) sejauh 10 kilometer dan MoMo Walk 3 kilometer di Lawas, serta Larian Visit Malaysia di Bandar Seri Begawan, Brunei, sebelum penamat di Teluk Melano, Sarawak.
Penganjuran jelajah ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai agensi termasuk Kementerian Perpaduan Malaysia, Kementerian Komunikasi, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan, Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, Kedutaan Malaysia di Brunei, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Bekind Malaysia, serta Persatuan Berbasikal Sarawak. – JAPEN