
BINTULU: Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Bintulu mencatat sejarah apabila menjadi satu-satunya PNK di Sarawak yang berani meneroka projek bot rekreasi dan aktiviti memancing sebagai cabang ekonomi baharu bagi komuniti nelayan.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, daripada 18 PNK di Sarawak, hanya PNK Bintulu yang aktif melaksanakan inisiatif ekonomi berasaskan bot rekreasi.
“PNK Bintulu merupakan satu-satunya PNK di Sarawak yang melaksanakan projek ini. Jika diurus dengan baik, ia berpotensi untuk dikembangkan lagi dengan penambahan lebih banyak bot.
“Insya-Allah, PNK Bintulu mampu menjadi model kepada 90 PNK lain di seluruh negara dalam melaksanakan projek ekonomi yang lebih inovatif dan berdaya saing,” katanya ketika berucap pada majlis Rahmah Mesra Madani Bersama Nelayan Bintulu di Pasar Nelayan Kuala Tatau, hari ini.
Beliau berkata, inisiatif tersebut membuktikan bahawa komuniti nelayan tidak hanya tertumpu kepada aktiviti menangkap dan menjual ikan, tetapi juga berkeupayaan menceburi sektor rekreasi seperti memancing sukan (sport fishing) yang semakin mendapat sambutan.
Pada majlis sama, Muhammad Faiz turut merasmikan pelancaran Projek Bot Rekreasi PNK Bintulu dengan peruntukan berjumlah RM50,000. Projek ini bertujuan menambah sumber pendapatan nelayan serta memperkukuh sektor pelancongan berasaskan komuniti setempat.
Oleh Carolyne Utih