SHEILA ZAIDI
KUCHING : Sebanyak 50 tan peralatan perlindungan peribadi (PPE) dan keperluan perubatan untuk Sarawak dari Shanghai, China telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) semalam.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penerbangan yang digunakan adalah terus dari China untuk memastikan barangan tersebut sampai dengan lebih cepat.
“Kalau kita nak tunggu penerbangan biasa, ia akan memakan masa yang panjang sedangkan kita sangat memerlukan barangan keperluan ini.
“Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk mengaturkan pembelian dan penghantaran secara terus dari China ke Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menyambut kedatangan pesawat yang membawa PPE serta keperluan perubatan lain di LTAK petang semalam.
Menurut Karim, barangan berkenaan adalah untuk kegunaan petugas barisan hadapan di hospital lain di negeri ini dalam mengendalikan kes Covid-19.
“Kerajaan Negeri sedia maklum akan kekurangan bekalan PPE dan juga peralatan perubatan di hospital-hospital dalam berdepan dengan wabak ini.
“Oleh yang demikian, Sarawak telah memperuntukkan RM10 juta untuk pembelian PPE perubatan untuk membantu semua hospital kerajaan di Sarawak,” ujarnya.
Antara barangan yang tiba semalam ialah terdiri daripada 50,000 gaun pelindung perubatan pakai buang, 50,000 pelindung muka perubatan, 50,000 ‘medical protective goggle’, 50,000 penutup kasut perubatan, 50,000 topeng muka jenis N95 dan 500,000 topeng muka surgical.
Tambah Karim, dengan adanya bekalan PPE ini, beliau percaya barisan perubatan di Sarawak akan lebih yakin dan terlindung dalam membendung wabak Covid-19 ini.
Ditanya sama ada bekalan PPE ini mencukupi atau tidak, Karim memberitahu bahawa ia bergantung kepada tren jangkitan di negeri ini.
“Berdasarkan pemerhatian saya, kita berada dalam keadaan yang stabil yang mana graf trend jangkitan di Sarawak tidak menunjukkan peningkatan yang drastik.
“Saya percaya kita tidak akan menemui kluster yang besar seperti kluster tabligh, gereja dan Itali kerana telah menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Beliau kemudian menyeru rakyat Sarawak untuk terus bekerjasama dengan kerajaan dalam memerangi wabak Covid-19 ini. Hadir sama di LTAK, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan UKAS, Abdullah Saidol, dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Micheal Tiang.