
KUALA LUMPUR: Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) menyokong penuh keputusan kerajaan melantik Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai pengeluar tunggal Sijil Tempasal Bukan Keutamaan (NPCO) untuk tujuan eksport ke Amerika Syarikat (AS), berkuat kuasa hari ini.
Sebelum ini, majlis-majlis perniagaan, dewan-dewan atau persatuan yang dilantik oleh MITI bertanggungjawab mengeluarkan NPCO untuk pasaran AS.
Presiden MICCI Christina Tee berkata dewan perniagaan itu bersedia untuk melepaskan sebahagian hasil pendapatan daripada pengeluaran sijil tersebut demi kepentingan ekonomi negara.
“Bagi pihak MICCI, kami rela melepaskan pendapatan itu dan menyokong MITI dalam proses pengeluaran NPCO agar negara dapat terus kukuh dalam menghadapi cabaran semasa,” katanya kepada pemberita dalam majlis makan tengah hari di sini hari ini.
Majlis itu diadakan bagi meraikan sambutan 188 tahun dewan perniagaan itu memperjuangkan komuniti perniagaan dan menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Turut hadir, Naib Presiden MICCI Renuka Indrarajah, Pengerusi Wilayah Selatan Lee Ting Kiat dan Pengerusi Cawangan Utara Datuk Brian Tan.
Mengulas lanjut, Tee berkata walaupun NPCO merupakan sumber pendapatan dewan perniagaan itu, namun, eksport ke AS hanya mewakili kira-kira 15 peratus daripada jumlah sijil yang dikeluarkan oleh MICCI.
“Kita tidak boleh tamak. Jika kita mahu negara berjaya, kita harus berkorban,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa MICCI mengamalkan dasar yang ketat dalam pengeluaran NPCO, iaitu sijil hanya dikeluarkan kepada ahli yang memenuhi semakan tahunan.
“Jika ahli tidak benar-benar menjalankan operasi pembuatan di sini, kami tidak akan mengeluarkan sijil. MICCI sentiasa menjunjung ketelusan dan pematuhan kepada garis panduan yang ketat,” katanya.
Mempercayai sepenuhnya terhadap keupayaan MITI, Tee berkata kementerian itu berpengalaman dalam mengendalikan pengeluaran sijil untuk negara seperti India dan Turkiye, yang turut mengenakan sekatan cukai import.
“Kini, dengan AS turut mengenakan cukai import, MITI sekali lagi diberi tanggungjawab. Yang menjadi persoalan sekarang ialah sama ada sistem sedia ada mampu menangani beban kerja yang lebih tinggi,” katanya.
Sebelum ini, sijil untuk Turkiye atau India boleh disiapkan dalam tempoh dua minggu. Dengan penyertaan AS, beban kerja meningkat, namun Tee yakin pasukan MITI komited dan berdedikasi dalam menggalas tanggungjawab itu.
“Untuk penghantaran menerusi laut, biasanya terdapat tempoh dua minggu antara pemuatan dan ketibaan, yang memberi masa mencukupi untuk sijil asal disiapkan dan dihantar. Sijil juga boleh dihantar melalui e-mel kemudian, membolehkan proses berjalan selari dengan penyediaan penghantaran.
“Ini boleh mengelakkan kelewatan. Saya percaya MITI wajar diberikan sokongan penuh dan masa yang mencukupi untuk menguruskan peralihan ini,” katanya.
Pada 5 Mei 2025, MITI mengumumkan bahawa kementerian itu akan menjadi pengeluar tunggal NPCO bagi eksport ke Amerika Syarikat bermula 6 Mei 2025.
MITI turut menegaskan bahawa sebarang cubaan untuk mengelak tarif, termasuk dengan membuat pengisytiharan nilai atau asal usul yang palsu atau mengelirukan, akan dianggap sebagai satu kesalahan serius.
– Bernama