
Platform Skype ditutup operasinya semalam. - Foto AFP
LUXEMBOURG CITY: Platform Skype yang beroperasi hampir 22 tahun menghubungkan orang ramai di seluruh dunia ditutup semalam, sekali gus menandakan berakhirnya era bagi satu daripada perintis komunikasi internet, lapor Al-Jazeera.
Dilancarkan pada 2003, Skype dengan pantas menjadi medium revolusi panggilan suara dan video percuma melalui internet, malah mengumpul lebih 300 juta pengguna bulanan ketika era kemuncaknya pada pertengahan 2010.
Platform percuma itu mengubah cara berkomunikasi merentasi sempadan sebelum adanya Zoom atau FaceTime.
Pada 2011, Microsoft membeli Skype dengan harga AS$8.5 bilion (kira-kira RM36 bilion) bertujuan untuk menjadikannya bahagian tengah strategi komunikasinya.
Bagaimanapun, selepas ada pesaing seperti WhatsApp dan Zoom, Microsoft mula menyedari populariti Skype semakin pudar.
Pada 28 Februari lalu, Microsoft mengumumkan akan menamatkan Skype semalam (5 Mei) untuk menyelaraskan perkhidmatannya dan mengutamakan pasukan untuk komunikasi serta kerjasama.
Penutupan platform itu akan memberi kesan kepada pengguna percuma dan berbayar namun Skype for Business akan diteruskan buat sementara waktu.
Microsoft menggesa pengguna untuk melayari skype.com dan menggunakan ciri ‘Start Using Teams’.
Semua mesej dan senarai dalam kenalan Skype akan kekal boleh diakses melalui ‘Teams’ menggunakan log masuk yang sama.
Pengguna mempunyai masa sehingga Januari 2026 untuk memuat turun atau memindahkan data mereka sebelum pemadaman kekal.