
SIBU: Bazar Gawai Dayak di Medan Selera Taman Tasik Permai (PLGFC) di sini telah dimeriahkan dengan persembahan barisan artis-artis dari Persatuan Artis Iban Sarawak (PARISA) pada malam Ahad.
Menurut Pengerusi PARISA Kaunselor Bujang Paku Lawang antara artis-artis yang terlibat ialah Toddy, Rem Jana, Angela Lata Jua, Lerry Silas, Mary Kadom, Alo Jana dan ramai lagi.
“Ini merupakan program kami sempena dengan penganjuran Bazar Gawai Dayak PLGFC yang diketuai pengerusi jawatakuasanya Veronica Blankat.
“Sebanyak 12 gerai terlibat dalam bazar ini dimana la gerai menjual makanan dan empat menjual minuman,” katanya kepada pemberita.
Bujang Paku Lawang yang merupakan koordinator bazar dan PLGFC dibawah Majlis Perbandaran Sibu (MPS) berkata, bazar ini dibuka dari 4.00 petang sehingga jam 10.00 malam.
Jelasnya, bazar ini bermula sejak 1 Mei lalu dan akan berakhir pada 10 Mei ini.
“Di sini bazar menjual pelbagai makanan tradisional Dayak harus dikunjungi warga Sibu untuk merasai keenakan makanan kami. Namun produk yang dijual semuanya tidak halal tetapi kita mempunyai satu gerai yang menjual makanan halal,” ujarnya lagi.
Menyentuh megenai program PARISA, beliau memberitahu, selain daripada persembahan artis turut diadakan sesi karaoke yang terbuka kepada pengunjung bagi memeriahkan lagi bazar kali ini.
“Bermula 1 hingga 10 Mei ini, bazar ini tidak akan sunyi kerana setiap malam ada persembahan sama ada hiburan dan kebudayaan di pentas PLGFC bagi menghangatkan lagi bahang sambutan Gawai Dayak semasa bazar diadakan kali ini,” tambahnya.
Oleh Tarani Lanting