
KUALA LUMPUR: Buat julung kali dua nama besar artis dari Indonesia, Kotak dan Marcello Tahitoe, bakal berkongsi pentas dalam Konsert 2 Dekade – Kotak X Ello – Live in Malaysia, yang akan berlangsung pada 14 Jun ini di International Technology and Commercial Centre (ITCC) Penampang, Sabah.
Konsert anjuran NS Show Connects Sdn Bhd dengan kerjasama ITCC Penampang itu diadakan khas bagi memperingati ulang tahun ke-20 penglibatan kedua-dua artis berkenaan dalam industri muzik.
Menurut wakil penganjur Alfian Basir, Sabah dipilih sebagai satu-satunya lokasi di luar Indonesia bagi menjayakan acara istimewa tersebut.
“Kota Kinabalu (Penampang) diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah konsert ini, yang pastinya dinantikan peminat-peminat di sana,” katanya dalam kenyataan.
Dalam kenyataan sama, vokalis Kotak, Tantri menyifatkan peluang berkongsi pentas dengan Marcello sebagai sesuatu yang istimewa selain tidak sabar untuk bertemu peminat mereka di Sabah.
Kotak yang dianggotai Tantri, Chua, dan Cella, terkenal sebagai kumpulan rock yang telah menghasilkan pelbagai album hit serta meraih anugerah di dalam dan luar Indonesia, manakala, Marcello terkenal dengan suara emasnya serta kini merupakan seorang daripada vokalis kumpulan legenda, Dewa 19.
Tiket boleh dibeli di laman web Ticket2U (www.ticket2u.com.my) dengan harga bermula RM98.– Bernama