
WASHINGTON: Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat pada Isnin memaklumkan kepada Universiti Harvard bahawa pihaknya menggantung semua geran penyelidikan baharu daripada kerajaan persekutuan, lapor Anadolu Ajansi.
Setiausaha Pendidikan, Linda McMahon mengutus surat tiga muka surat kepada Presiden Harvard, Alan M. Garber dan menyelar universiti berprestij itu atas apa yang disifatkan sebagai “pengurusan yang gagal secara menyeluruh.”
“Surat ini adalah untuk memaklumkan bahawa Harvard tidak lagi boleh memohon geran daripada kerajaan persekutuan kerana tiada lagi dana akan disalurkan,” tulis McMahon.
Ketegangan antara pentadbiran Trump dan universiti elit itu meningkat sejak kebelakangan ini, khususnya melibatkan isu kemasukan pelajar, amalan pengambilan kakitangan, kawal selia kurikulum serta respons terhadap protes kampus pro-Palestin.
Pentadbiran Trump sebelum ini menggantung lebih US$2.2 bilion geran persekutuan kepada Harvard dan US$60 juta lagi dalam bentuk kontrak.
Susulan itu, Harvard telah mengambil tindakan undang-undang terhadap pentadbiran berkenaan, dengan mendakwa bahawa penggantungan dana itu melanggar Pindaan Pertama Perlembagaan AS serta undang-undang persekutuan yang melarang presiden daripada mengarahkan atau campur tangan secara langsung atau tidak langsung dalam audit atau siasatan oleh Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri (IRS).
“Dalam segala hal, Harvard telah gagal mematuhi kewajipan undang-undangnya, tanggungjawab etika dan fidusiari, keperluan ketelusan serta integriti akademik,” kata McMahon.
Beliau turut menyatakan bahawa pentadbiran sebelum ini bersedia mengekalkan dana persekutuan kepada Harvard selagi universiti itu komited mematuhi undang-undang persekutuan.
“Sebagai institusi pendidikan, sebuah universiti sepatutnya mengangkat idealisme tertinggi negara dan mencorak masa depan ribuan pelajar yang memasuki pintunya. Namun Harvard telah mengkhianatinya,” tegasnya.– Bernama-Anadolu