
SALAH satu agensi kerajaan Sarawak yang menyumbang bakti kepada pembangunan negeri ini adalah Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA).
SALCRA merupakan salah satu inisiatif kerajaan pimpinan Ketua Menteri ketika itu, Tun Abdul Rahman Yaákub yang berwawasan untuk memajukan Sarawak.
SALCRA ditubuhkan pada 1 Mei 1976.
Agensi ini telah banyak menyumbang baktinya sejak dari awal penubuhannya.
Matlamat
Tujuan penubuhan lembaga ini adalah untuk membangunkan tanah di Sarawak melalui usaha penyatuan, pemulihan, dan pengurusan tanah-tanah yang ada.
Ini kerana Sarawak merupakan negeri terbesar di Malaysia dan memiliki keluasan tanah yang berpotensi besar untuk dimajukan demi kepentingan negara.
Pada masa sama, lembaga ini juga berperanan dalam memajukan Tanah Adat Bumiputera Sarawak (NCR) yang masih belum dibangunkan, atau yang telah dimajukan tetapi belum sepenuhnya dibangunkan secara menyeluruh.
Usaha ini penting kerana penduduk Bumiputera di pedalaman yang rata-ratanya tinggal secara berselerak dan hanya mengusahakan tanah secara minimum.
Sesetengah masyarakat juga menjalankan aktiviti penanaman pindah, dan kaedah ini tidak begitu memberi banyak manfaat kepada pengusahanya dan negara.
Ada juga tanah-tanah yang terbiar dan tidak dikerjakan.
Hal ini secara tidak langsung menyebabkan tanah yang boleh diusahakan secara produktif, tidak dikerjakan dengan baik.
Kesannya penduduk Sarawak yang memiliki tanah ini juga tidak menikmati kemajuan pesat.
Oleh itu objektif SALCRA adalah untuk membantu penduduk Sarawak dalam penggunaan tanah yang lebih produktif.
Penubuhan SALCRA juga merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri dalam mencapai matlamat Dasar Ekonomi Baru.
Seiring dengan matlamat tersebut, kerajaan Sarawak berhasrat untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.
Kerjasama
Usaha mewujudkan SALCRA membolehkan kerajaan bekerjasama dengan penduduk Sarawak dalam mengusahakan tanah demi kemajuan negeri.
Pelaksanaan usaha ini memerlukan gabungan sumber manusia tempatan dengan kepakaran teknikal bagi membangunkan tanah tersebut secara berkesan.
Kerajaan juga akan membantu dalam usaha memasarkan hasil tanaman yang dihasilkan.
Semua inisiatif ini membolehkan keseluruhan proses pengusahaan tanah pertanian, dari peringkat awal hingga akhir, dilaksanakan oleh penduduk tempatan.
Dalam hal ini SALCRA akan bertindak untuk memulih dan memajukan tanah pertanian.
Usaha ini dibuat dengan mengadakan kerjasama dengan pihak swasta atau badan awam atau orang perseorangan.
anah-tanah ini juga akan dipulangkan semula kepada pemilikan berdasarkan saiz tanah yang telah diukurkan.
Struktur
Dalam aspek struktur pentadbiran, SALCRA mempunyai sebuah lembaga pengarah. Lembaga ini menjadi pembuat dasar lembaga tersebut.
Lembaga pengarah ini diketuai oleh Menteri Tanah dan Kemajuan Wilayah sebagai pengerusi.
Beliau dibantu oleh timbalannya yang merupakan Ketua Eksekutif SALCRA.
Di bawah beliau pula adalah Pengurus Besar.
Empat bahagian utama turut dibentuk, iaitu Bahagian Perhubungan Awam dan Pentadbiran, Bahagian Perancangan, Bahagian Akaun, serta Bahagian Perkhidmatan Teknikal dan Kejuruteraan.
Bahagian-bahagian ini mempunyai fungsinya sendiri dalam melancarkan operasi SALCRA.

Lubok Antu
Antara aktiviti utama yang dijalankan oleh SALCRA ialah pelaksanaan projek penanaman kelapa sawit di Lubok Antu.
Projek di kawasan ini melibatkan dua skim utama, iaitu Skim Lemanak dan Skim Batang Ai.
Projek di Lubok Antu ini adalah sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ketiga.
Projek ini bermula pada Januari 1977.
Dalam Rancangan Malaysia Ketiga dinyatakan bahawa sebanyak 10,000 ekar tanah akan dibangunkan.
Setakat 1979 sebanyak 3,530 ekar tanah telah dibangunkan.
Dalam hal ini, usaha membangunkan tanah di Lubok Antu melibatkan pembinaan beberapa prasarana seperti kemudahan memproses, gudang penyimpanan, dan sistem pengangkutan bagi kelapa sawit.
Usaha pembangunan pertanian komersial ini bukan sahaja tertumpu kepada penanaman kelapa sawit, tetapi juga merangkumi penanaman koko.
Projek penanaman koko telah dilaksanakan pada 1984 di Taee.
Projek ini merupakan fasa ketiga di bawah Projek Koko SALCRA. Sebanyak 477 ekar tanah telah diperuntukkan bagi penanaman koko, melibatkan penyertaan 59 orang penduduk kampung.
Selain dua tanaman komersial tersebut, penanaman teh turut diusahakan di Engkaroh, Mayang Mawang, dan Mayang Kawan.
Projek teh di kawasan ini telah mula mengeluarkan hasil pada Julai 1985.
Kebajikan
Dalam membangunkan masyarakat setempat, SALCRA bukan sahaja membangunkan sektor pertanian tetapi juga melibatkan usaha memajukan masyarakat dengan sektor perniagaan.
Bagi menjayakan usaha ini, koperasi diwujudkan di skim-skim penanaman itu.
Penduduk setempat digalakkan menjadi ahli kepada koperasi tersebut.
Dalam usaha membangunkan masyarakat yang terlibat dalam skim tersebut, pelbagai projek sampingan turut diwujudkan.
Antaranya termasuk pembinaan kolam ikan dan penanaman sayur sebagai sumber pendapatan tambahan.
Selain itu, penubuhan Kelab Ekonomi Rumah Tangga juga dilaksanakan bagi memperkasa komuniti peneroka.
Kelab ini berperanan membantu golongan ibu untuk turut serta bersama kalangan bapa dalam usaha memajukan masyarakat peneroka secara menyeluruh.
Bagi memperkukuh penglibatan peneroka dan ahli keluarga mereka dalam skim tersebut, kerajaan turut menitikberatkan aspek kebajikan dan keselamatan penduduk.
Klinik bergerak telah diwujudkan bagi memantau tahap kesihatan masyarakat peneroka.
Selain itu, perhatian turut diberikan kepada penyediaan kemudahan bekalan air yang mencukupi.
Abad ke-20
Fungsi SALCRA ini terus relevan dalam membangunkan ekonomi penduduk luar bandar Sarawak.
Beberapa lagi projek diutarakan oleh pihak kerajaan telah digerakkan oleh SALCRA.
Antaranya memperkenalkan usaha menternak lembu di kawasan skim penanaman SALCRA.
Projek ini telah dimulakan sejak 2002.
SALCRA melangkah setapak lagi kemajuan apabila mula memfokuskan kegiatannya dengan biohidrogen.
Pada 2024 satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani dengan Planet QEOS, KIS BIOCNG Sdn Bhd untuk mewujudkan kerangka kerjasama bagi membangunkan biohidrogen tersebut.
Setelah berpuluh tahun penubuhannya, SALCRA semakin matang dalam memajukan masyarakat Sarawak.
Paparan ini hanya sebahagian sahaja pencapaian yang telah dibuat oleh SALCRA sejak penubuhannya.
Banyak lagi sebenarnya usaha yang digerakkan dan dicapai oleh SALCRA hingga ke hari ini.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, FakultiSains Sosial dan Kemanusiaan.