LAWAS: Lapangan terbang baharu Lawas akan dibina berdekatan dengan kawasan Sundar setelah lokasi asal di kawasan Kuala Lawas tidak dilulus pihak Kementerian Pengangkutan atas faktor keselamatan.
Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, keputusan ini dinyatakan pihak bertanggungjawab kerana lokasi asal ini berhampiran dengan loji penapisan minyak dan gas di Pulau Sari Kuala Lawas.
“Kita difahamkan bahawa, lapangan terbang mesti berada sekurang-kurangnya 5 kilometer daripada loji ini.
“Maka lokasi baharu telah dikenal pasti iaitu di kawasan Sundar yang juga terletak dikawasan jalan pesisir,” tambahnya.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak memberitahu perancangan lain untuk pembangunan di kawasan Sundar ialah pembinaan sebuah jambatan yang menghubungkan Sundar dengan kawasan kampung seberang Sundar.
Semua ini akan dilaksana secara berperingkat untuk kemudahan perhubungan dan pembangunan ekonomi rakyat.
Oleh itu beliau menyeru masyarakat di Sundar untuk mengusahakan tanah milik mereka untuk aktiviti pertanian, penternakan dan pemprosesan makanan sebagai usaha menambah pendapatan keluarga masing-masing.
“Kerajaan hanya mampu menyediakan segala kemudahan dan infrasturktur untuk rakyat, selebihnya adalah atas usaha dan kreativiti rakyat itu sendiri merebut peluang yang muncul hasil daripada segala pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan,” ujarnya.
Awang Tengah menyatakan demikian ketika bertemu penduduk di Kampung Luagan Sundar untuk melawat projek pembinaan Dewan Masyarakat Kampung Sundar yang baru disiapkan.
Turut hadir Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegarah NRDA Datu Ubaidillah bin Latip, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Limbang, Awang Nazri Awang Saperi dan kenamaan lainnya.
Oleh Adeng Edrus