
TOULOUSE, Perancis: Kerajaan Sarawak melangkah ke hadapan dalam usaha membangunkan industri aeroangkasa negeri menerusi kerjasama strategik dengan syarikat penerbangan terkemuka dunia, Airbus.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata lawatan rasmi ke ibu pejabat Airbus telah membuka peluang kepada enam bidang utama yang dipersetujui untuk diteroka bersama, ke arah menjadikan Sarawak sebagai hab aeroangkasa baharu di rantau Asia Pasifik.
Antara bidang tersebut termasuk penyelidikan dan pembangunan bahan api penerbangan mampan (SAF), seiring usaha global mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
“Bidang kedua ialah pembangunan modal insan dalam industri aeroangkasa.
“Kerjasama antara Airbus dan institusi tempatan seperti ICATS akan diperluas bagi membangunkan program latihan serta silibus berkaitan industri ini.
“Inisiatif ini akan membuka peluang kepada pelajar Sarawak untuk menjalani latihan industri bertaraf antarabangsa,” katanya.
Abang Johari berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja ke Kampus Airbus dan ibu pejabat ATR, pengeluar pesawat turboprop terkemuka dunia, semalam pada waktu tempatan.
Abang Johari turut memaklumkan, bidang ketiga yang dipersetujui ialah pembangunan ekosistem industri sokongan.
Ini, menurutnya, termasuk penerokaan potensi pembuatan bahan komposit dan kulit sintetik berasaskan gas untuk kegunaan industri penerbangan, selain teknologi avionik serta instrumentasi berasaskan kecerdasan buatan (AI).
“Keempat, kita akan memperkenalkan konsep ‘digital journey’ bagi mendigitalkan keseluruhan pengalaman perjalanan, daripada tempahan tiket, penggunaan sistem pengangkutan ART, sehinggalah ke penginapan dalam satu sistem digital yang lancar,” jelasnya.
Beliau turut mengumumkan penubuhan Pasukan Bersama Sarawak–Airbus sebagai bidang kelima, bagi merangka pelan hala tuju pembangunan industri aeroangkasa negeri.
Jelasnya lagi, pasukan ini akan dianggotai oleh pakar-pakar dari kedua-dua pihak bagi merancang strategi pembangunan industri secara menyeluruh.
“Gabungan tenaga kepakaran ini dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri penerbangan di Sarawak, serta membuka peluang kerjasama di peringkat antarabangsa,” katanya.
Bidang keenam pula melibatkan pembangunan Aerotropolis, sebagai usaha memperkukuh ekosistem industri penerbangan negeri.
Sebuah kawasan seluas 100 ekar dirancang untuk dibangunkan sebagai hab bersepadu yang menyatukan pelbagai komponen industri secara efisien.
Terdahulu, Premier Sarawak bersama delegasi telah mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat ATR di Perancis, sebelum menghadiri sesi perbincangan profesional di Airspace Customer Showroom, Agoahub, yang dihoskan Presiden Airbus International, Wouter van Wersch.
Mengiringi beliau dalam lawatan tersebut ialah Duta Besar Malaysia ke Perancis Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi AirBorneo Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, serta Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar selaku Ahli Lembaga Pengarah AirBorneo.
Turut serta ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.