
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen (JIM) menahan 16 individu, termasuk dua lelaki warga tempatan dalam Operasi Khas di dua lokasi berasingan semalam kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penawaran perkhidmatan pelacuran wanita warga asing.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JIM Ismail Mokhtar dalam kenyataan hari ini berkata kesemua individu yang berusia antara 19 hingga 61 tahun itu ditahan di sekitar Pandan Perdana, Kuala Lumpur dan Seri Kembangan, Selangor.
“Modus operandi yang digunakan adalah menawarkan perkhidmatan pelacuran wanita warga asing dengan mengiklankan perkhidmatan yang ditawarkan melalui aplikasi media sosial untuk mendapatkan pelanggan.
“Bayaran yang dikenakan ke atas pelanggan adalah antara RM250 hingga RM1,200 untuk sekali perkhidmatan seks dan transaksi bayaran secara tunai atau dalam talian,” katanya.
Beliau berkata operasi bermula pada 7.15 petang itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
“Bertindak atas maklumat awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi diatur gerak ke premis kedai serta kediaman dan berjaya menahan dua lelaki warga Malaysia yang dipercayai penjaga premis.
“Turut ditahan, dua lelaki dan tujuh wanita warga Vietnam, empat wanita Indonesia dan seorang wanita rakyat Laos,” katanya.
Ismail berkata semakan awal mendapati seorang wanita masing-masing warga Vietnam dan Laos memiliki Pas Lawatan (Sosial) yang masih sah laku, dua lelaki Vietnam tinggal lebih masa manakala warga asing lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau Pas sah untuk berada di negara ini.
Beliau berkata pasukan operasi menyita 19 telefon bimbit, lima pasport Vietnam, satu pasport Laos, buku rekod kerja dan buku urus niaga.
Kesemua warga asing ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut manakala dua wanita warga Laos dan seorang wanita rakyat Vietnam diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
-Bernama