
KUCHING: Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) telah memperkenal kerjasama yang diperluas dengan Amazon Web Services (AWS) bagi melaksanakan latihan lanjutan kecerdasan buatan (AI) dan kemahiran pengkomputeran awan untuk menyokong visi negeri itu menjadi kuasa utama AI di Malaysia menjelang 2027.
Kenyataan CENTEXS memaklumkan program latihan itu menangani keperluan kritikal bagi kepakaran AI dalam agensi kerajaan melalui pendekatan menyeluruh termasuk kesedaran eksekutif, pensijilan pengamal dan latihan teknologi lanjutan.
“Inisiatif yang diperluas ini dibangun berdasarkan kejayaan program latihan AI CENTEXS 2024 kami mentauliahkan 32 bakat tempatan dalam kalangan Pengamal Pengkomputeran dan Kejuruteraan Awan serta AL/ML (pembelajaran mesin) AWS sekali gus membuktikan komitmen berterusan kami untuk membangunkan keupayaan AI Sarawak.
“AWS melancarkan tiga trek pembangunan khusus AI dengan CENTEXS pada 2025 iaitu taklimat Eksekutif AI yang menyasarkan 60 pemimpin tahap C, Latihan Pengamal AI Bertauliah AWS untuk 80 penjawat awam serta sijil lanjutan dalam Kejuruteraan Pembelajaran Mesin dan Kejuruteraan Data bagi 120 siswazah universiti,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan siswazah bagi trek lanjutan akan menyertai AWS Guild Generative AI Incubator di Pusat Penciptaan dan Inovasi CENTEXS akan datang yang dijadual berlangsung pada Ogos ini.
Di bawah bimbingan AWS, peserta akan membangunkan penyelesaian AI dunia nyata dengan penggunaan disasarkan dalam tempoh empat bulan.
“Inisiatif itu juga menyokong matlamat Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 iaitu transformasi ekonomi, pemodenan dan kecekapan serta pertumbuhan pendapatan,” katanya.
-Bernama