
KUCHING: Media memainkan peranan penting dalam membentuk pemahaman awam terhadap isu pembangunan, terutamanya bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak yang bergantung kepada komunikasi berkesan untuk berinteraksi dengan masyarakat dan para pemegang taruh.
Menurut Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, inisiatif seperti ini amat penting kerana media merupakan rakan strategik dalam menyampaikan dasar pembangunan negeri kepada rakyat.
“Program ini menghimpunkan wartawan, editor serta penceramah jemputan daripada pelbagai sektor pembangunan seperti tenaga, alam sekitar, ekonomi digital dan perancangan bandar.
“Ia bukan sahaja berfungsi sebagai platform untuk mengeratkan hubungan antara media dan agensi pembangunan, malah turut menggalakkan dialog terbuka, perkongsian ilmu serta penglibatan strategik yang bermakna,” katanya pada AZAM Media Coffee Chat 2025, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak, Ali Suhaili, menegaskan bahawa inisiatif seperti ini selaras dengan aspirasi strategi komunikasi pembangunan Sarawak.
“AZAM komited untuk menjadikan komunikasi pembangunan lebih mudah difahami dan relevan kepada semua lapisan masyarakat. Menerusi inisiatif seperti Coffee Chat, kami menyediakan ruang kepada pihak media untuk memahami istilah yang kompleks, sekali gus memperkukuh naratif pembangunan yang inklusif dan menyeluruh,” katanya.
Oleh Norman B