
KOTA SAMARAHAN: Usaha memperkasa sektor pelancongan komuniti di Sarawak menerima suntikan baharu apabila Samrah Travel Sdn. Bhd. dan Semarak Kreatif Sdn. Bhd. memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membentuk kerjasama strategik merentas industri dan akademik.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Semarak Kreatif, Azri Ali, kerjasama itu diyakini mampu memperkukuh strategi pemasaran pelancongan dengan penyediaan perkhidmatan video berkualiti tinggi yang menonjolkan keunikan destinasi dan pengalaman pelancong.
“Visual yang berkesan bukan sahaja meningkatkan daya tarikan tetapi turut membantu agensi pelancongan seperti Samrah Travel mencapai khalayak yang lebih luas secara profesional dan berimpak,” katanya pada majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Semarak Kreatif Sdn. Bhd. dan Samrah Travel Sdn. Bhd., di Unimas, hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Samrah Travel, Ahmed Shukri Abdul Rahman, menjelaskan bahawa gabungan kepakaran industri dan akademik yang terjalin menerusi kerjasama tersebut mampu menyuntik dimensi baharu dalam sektor pelancongan tempatan.
“Kerjasama ini bukan sahaja menyatukan pengalaman industri dan kepakaran akademik, tetapi juga membawa nafas baharu kepada sektor pelancongan negeri,” jelasnya.
Semarak Kreatif pula ialah syarikat terbitan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang aktif dalam bidang seni kreatif seperti teater, dokumentari, filem pendek, animasi dan pengurusan acara, serta menyediakan platform profesional untuk bakat tempatan bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.
Samrah Travel merupakan syarikat pelancongan berpengalaman lebih 15 tahun dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), serta kini menjadi Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen di bawah Tabung Haji bagi musim 2025/1446H.
MoU yang dimeterai pada hari ini membuka ruang kepada pelbagai inisiatif pembangunan pelancongan termasuk pengurusan pakej ke luar negara seperti haji dan umrah, promosi digital, penglibatan komuniti serta penghasilan kandungan kreatif berteraskan budaya dan warisan negeri Sarawak.
Pelaksanaan program bakal dipacu oleh DS Samrah Travel melalui unit khas di bawah Samrah Travel yang akan menumpukan kepada aspek operasi dan pemasaran.
Sementara itu, Semarak Kreatif, sebagai rakan strategik, akan memainkan peranan dalam mencapai capaian komuniti, promosi kreatif serta mengukuhkan jaringan antara industri dan universiti.
MoU tersebut menandakan permulaan kepada beberapa siri projek bersama yang bakal memanfaatkan pelbagai kumpulan sasar termasuk pelajar institusi pengajian tinggi, usahawan tempatan serta pelancong dari dalam dan luar negara.
Oleh Masrin Affirah