
Reaksi kecewa Amorim dan staf kejurulatihan United ketika menentang Brentford.
LONDON: Ruben Amorim mengakui Manchester United perlu berubah selepas kekalahan mengecewakan 3-4 kepada Brentford semalam yang sekali lagi mendedahkan masalah serius dihadapi pengendali Old Trafford itu.
Kevin Schade menjaringkan dua gol di Stadium Gtech Komuniti ketika kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) United terus merosot apabila kemarau kemenangan dalam liga kini berlanjutan kepada enam perlawanan.
Amorim melakukan lapan pertukaran dalam barisan kesebelasan bagi merehatkan beberapa pemain utama selepas menang 3-0 ke atas Athletic Bilbao dalam separuh akhir kedua Liga Europa pada Jumaat lalu.
Dengan menurunkan barisan ketiga termuda dalam sejarah EPL pada purata usia 22 tahun dan 270 hari, barisan muda United itu gagal mengelak kekalahan ke-12 dalam 24 perlawanan liga di bawah bimbingan Amorim.
Sejak menggantikan Erik ten Hag yang dipecat pada November, Amorim masih gagal mengeluarkan United daripada situasi sukar.
United kini berada di tangga ke-15 liga dan sedang berusaha mengelak mencatat kedudukan terburuk sejak penyingkiran mereka pada musim 1973-74.
Amorim sebelum ini beberapa kali mengkritik pemain United, dan sekali lagi mengakui perlunya perubahan besar terhadap skuadnya pada akhir musim ini.
“Ia adalah cerminan kepada musim kami. Kami bermula bagus dan mengawal perlawanan dengan baik, tetapi kami terdedah kepada situasi bola mati dan lontaran ke dalam. Kami memang tahu kami akan bergelut menentang mereka,” katanya.
“Pemain perlu faham bahawa kami tidak boleh terus begini. Kami tahu konteks musim ini dan perlu ubah keadaan itu.”
Mason Mount menjaringkan gol pertamanya musim ini untuk meletakkan United di hadapan, tetapi gol sendiri Luke Shaw dan jaringan Schade meletakkan Brentford mendahului pada separuh masa.
Schade menambah gol keduanya menerusi tandukan jarak dekat hasil hantaran Bryan Mbeumo, sebelum Yoane Wissa menjaringkan gol keempat susulan kerapuhan benteng United.
Gol ‘roket’ Alejandro Garnacho pada minit ke-82 dari luar kotak penalti dan jaringan masa kecederaan oleh Amad Diallo hanya sedikit melegakan penyokong United.
Selepas dua musim dilanda kecederaan sejak tiba dari Chelsea, jaringan Mount satu-satunya berita gembira buat Amorim.
“Bukan sekadar penyudahnya, tetapi posisi dia di atas padang juga penting. Dia pemain tengah ketiga yang boleh menyelinap ke dalam kotak penalti, dia sangat bijak dan kini semakin memahami peranan itu,” kata Amorim.
“Dia berlatih bersungguh-sungguh, kadangkala terlalu bersungguh sehingga saya perlu hentikannya dan tarik dia keluar dari padang kerana dia mahu buat lebih. Dia mahu bermain lebih banyak minit dan saya sangat gembira dengannya.” – AFP