
MIRI: Permintaan terhadap rumah mampu milik di Miri semakin meningkat secara mendadak, sejajar dengan perkembangan pesat bandar ini serta peningkatan populasi akibat penghijrahan penduduk dari kawasan luar bandar yang datang mencari peluang pekerjaan.
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, isu perumahan telah menjadi antara keutamaan beliau sejak dipilih sebagai wakil rakyat kawasan itu.
“Di bandar yang berkembang pesat seperti Miri, permintaan untuk rumah mampu milik semakin meningkat berikutan pertumbuhan penduduk dan migrasi dari luar bandar,” katanya ketika berucap pada taklimat Program Perumahan Mesra Rakyat Skim Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang diadakan di sebuah hotel di sini, semalam.
Program itu bertujuan membantu isi rumah berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri.
Majlis berkenaan dianjurkan oleh Pusat Khidmat Parlimen Miri dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk meningkatkan kesedaran tentang skim perumahan kerajaan dalam kalangan masyarakat yang memerlukan.
Chiew turut menegaskan komitmennya untuk terus mendorong kerjasama yang lebih erat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri bagi memperluaskan skim perumahan awam di kawasan tersebut.
“Rumah bukan sekadar struktur fizikal, tetapi merupakan keperluan asas yang amat mempengaruhi kualiti hidup dan kestabilan kewangan seseorang,” ujarnya.
Program tersebut menerima sambutan menggalakkan, dengan ramai penduduk Miri menunjukkan minat mendalam untuk mengetahui lebih lanjut mengenai projek RMR.
Sehubungan itu, Chiew merancang untuk mengadakan lebih banyak sesi taklimat berkaitan program berkenaan pada masa akan datang.
“Kami akan terus menganjurkan program seperti ini, bukan sahaja berkaitan perumahan, tetapi juga meliputi pelbagai skim kerajaan agar rakyat Miri sentiasa mendapat maklumat dan dapat memanfaatkan peluang yang tersedia bagi meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa pusat khidmat beliau akan terus komited dalam merapatkan jurang antara rakyat dan inisiatif pembangunan yang disediakan oleh kerajaan persekutuan.
Oleh Liong Chai Ling