
MIRI: Edisi ke-11 Gawai Dayak Bazaar (GDB) Miri menyaksikan penggabungan budaya, semangat keusahawanan dan keharmonian komuniti dalam sebuah acara meriah yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan II Sarawak, Datuk Snowdan Lawan di Tapak Gawai Dayak Bazaar, Permyjaya, semalam.
Acara anjuran Persatuan Gagasan Anak Dayak Sarawak (GADS) ini bertemakan “Bedagang, Berami, Begawai”, dan turut dihadiri Datuk Bandar Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang, serta wakil Pegawai Daerah Miri, SAO Edward Tarang.
Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Snowdan menegaskan bahawa sambutan Gawai bukan sekadar perayaan budaya, malah menjadi platform penting dalam memperkasakan ekonomi komuniti melalui aktiviti keusahawanan dan jaringan sosial.
Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi menyokong penganjuran GDB tahun ini.
“Gawai Dayak Bazaar melambangkan kekuatan kita sebagai satu komuniti, bersatu, berkarya dan berusaha memelihara warisan melalui aktiviti ekonomi dan budaya,” katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar Miri, Adam Yii, menyifatkan bazar tersebut sebagai simbol keharmonian masyarakat berbilang kaum di bandaraya Miri.
Beliau juga mengumumkan sumbangan sebanyak RM5,000 daripada Majlis Bandaraya Miri serta menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan peluasan kawasan bazaar pada masa hadapan.
“Acara seperti ini bukan sahaja memperlihatkan kekayaan budaya Dayak, tetapi turut mencerminkan semangat muhibah antara kaum yang menjadi kekuatan utama Miri,” ujarnya sambil memuji penglibatan pelbagai lapisan masyarakat dalam acara tahunan ini.
Majlis perasmian turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan, gimik simbolik “Nganchau Tikai”, serta persembahan khas daripada artis undangan, Ricky Andrewson.
Gawai Dayak Bazaar 11.0 berlangsung daripada 1 hingga 24 Mei 2025, menampilkan 74 gerai yang menawarkan pelbagai jenis makanan, minuman dan kraftangan.
Pelbagai aktiviti sampingan turut dianjurkan termasuk pertandingan nyanyian, memasak, permainan tradisional dan pertunjukan fesyen etnik.
Tema “Bedagang, Berami, Begawai” membawa mesej mendalam—Bedagang melambangkan semangat berniaga, Berami menggambarkan kemeriahan dan keterlibatan masyarakat, manakala Begawai merujuk kepada perayaan serta penghargaan terhadap hasil tuaian dan warisan nenek moyang.
Penganjuran Gawai Dayak Bazaar Miri 11.0 bukan sekadar pesta tahunan, tetapi bukti nyata bagaimana kekayaan budaya boleh menjadi pemacu kepada pembangunan ekonomi dan perpaduan komuniti.
-UKAS