
SIBU: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan lalu melanggar pengadang jalan di Jalan Sibu-Durin (berhampiran lampu isyarat Lapangan Terbang Sibu), pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa berumur 18 tahun, dalam perjalanan dari Kemuyang menuju ke Sibu Jaya.
“Semasa tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa telah hilang kawalan lalu melanggar pengadang jalan lalu terjatuh di atas jalan raya,” katanya menerusi siaran media, sebentar tadi.
Katanya, kemalangan ini menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Manakala motosikal yang ditunggang mangsa mengalami kerosakan pada bahagian hadapan.
“Susulan daripada laporan polis tersebut, satu kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Oleh Akun Giman