
SIBU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong dan Sibu Jaya menganjurkan program dialog komuniti bertajuk ‘Mari Berbicara, Dari Hati ke Hati’ sebagai platform untuk mendekati masyarakat dan mendengar secara langsung isu-isu yang dihadapi penduduk setempat.
Sesi sulung program tersebut berlangsung malam tadi di kediaman pasangan Hii Hung Tie dan Lau Yio Nik di Lorong Kiew Nang 8A, dengan kehadiran penduduk sekitar serta pemimpin-pemimpin parti.
Pengerusi SUPP Cawangan Dudong, Wong Ching Yong berkata, program seumpama ini akan diperluaskan ke kawasan lain bagi memastikan suara rakyat terus didengari serta mengukuhkan hubungan antara pemimpin dan komuniti.
“Kami akan teruskan program seperti ini pada waktu malam, dengan mengunjungi rumah-rumah penduduk untuk mendengar secara langsung masalah mereka,” katanya kepada pemberita selepas sesi berkenaan.
Antara isu yang dibangkitkan termasuk kebajikan awam, keadaan jalan raya, sistem perparitan, pencahayaan jalan, serta kebimbangan berkaitan pendidikan.
Dalam sesi tersebut, Wong turut berkongsi kisah seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bercita-cita menjadi guru tetapi hanya memperoleh 4A dalam peperiksaan itu.
“Pelajar itu digalakkan memohon dalam bidang pendidikan, dan juga boleh mempertimbangkan bidang perakaunan berdasarkan keputusan akademiknya. Saya mencadangkan agar dia mempertimbangkan Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti Curtin, Universiti Swinburne atau Kolej Universiti I-CATS yang semuanya beroperasi di Sarawak,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pelajar berkenaan dijemput menghadiri seminar pendidikan pada 17 Mei ini di Dewan Kuliah Sekolah Menengah Tinggi Katolik, yang akan menampilkan kaunselor pendidikan bagi memberi panduan berkaitan laluan ke pengajian tinggi.
Dalam pada itu, Wong juga memberi dorongan kepada seorang lagi pelajar Tingkatan Lima yang bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan selepas menduduki SPM tahun ini.
“Saya galakkan dia memohon ke universiti di Sarawak, dan turut mempertimbangkan institusi di Taiwan serta China yang menawarkan program kejuruteraan berkualiti dan diiktiraf di Malaysia melalui perjanjian Washington Accord,” katanya sambil menambah bahawa bidang aeroangkasa di Beijing kini semakin mendapat sambutan.
Sementara itu, Wong memaklumkan pihaknya menerima surat daripada seorang penduduk Jalan Kiew Nang yang membangkitkan beberapa isu setempat seperti jalan berlubang dan tidak rata, kekurangan kemudahan rekreasi, serta kesesakan lalu lintas yang menjejaskan keselamatan pengguna.
“Aduan turut melibatkan pembakaran terbuka oleh sesetengah pihak yang menimbulkan pencemaran udara, risiko kesihatan dan bahaya kebakaran. Semua maklum balas ini akan disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut,” tambahnya.
Oleh Tarani Lanting