
KUCHING: Kejohanan Piala TYT Muay Thai Sarawak 2025 yang berlangsung di Tebingan Kuching malam tadi menyaksikan penyertaan memberangsangkan daripada kelab tempatan dari seluruh negeri, sekali gus mencerminkan perkembangan pesat sukan Muay Thai di Sarawak.
Antara kelab yang mengambil bahagian termasuk dari Kuching, Bintulu, Sibu, Miri, Samarahan dan beberapa daerah lain, selain penyertaan daripada kontinjen antarabangsa yang turut memeriahkan kejohanan tersebut.
Kelab Muay Thai Kenyalang muncul juara keseluruhan selepas mendominasi kejohanan dengan pungutan 22 pingat emas, tujuh perak dan 29 gangsa, kejayaan dua tahun berturut-turut selepas menjuarai edisi 2024.

Tempat kedua menjadi milik Kelab Sting Muay Thai, diikuti Kelab PS Muaythai Bintulu di tempat ketiga dan Kelab Phoenix Meranek di tempat keempat.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu yang mewakili Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis, beliau menzahirkan sokongan padu kementeriannya terhadap penganjuran kejohanan seumpama ini yang bukan sahaja memberi peluang kepada atlet mempamerkan bakat, tetapi turut menjadi platform penting dalam memupuk dan membangunkan bakat sukan tempatan.

“Muay Thai semakin berkembang di Sarawak seperti yang dapat dilihat daripada penyertaan yang meluas serta penglibatan pasukan dari pelbagai bahagian negeri,” katanya.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Morshidi Fredrick; Datuk Bandar Kuching Utara (DBKU), Dato Hilmy Othman serta tetamu kehormat lain.
Oleh Amanda L.