Jika orang lain terpaksa pergi ke taman-taman negara dan membayar tiket untuk melihat orang utan secara dekat tetapi bagi Tuai Rumah Manggat dan anak-anak buahnya di Ulu Menyang, Batang Ai, mereka hanya perlu keluar beberapa meter dari rumah panjang dan kelibat orang utan boleh dilihat dengan mudah.
Haiwan yang mempunyai 97 peratus DNA manusia ini selesa menjadikan kawasan hutan berhampiran serta ladang gaharu milik penduduk rumah panjang sebagai taman permainan mereka.
Apabila alam, haiwan dan manusia berpadu, akan wujudlah keserasian dan keharmonian yang unik. Mereka berkongsi khazanah alam ini dan bersama-sama menyumbang yang terbaik untuk kemakmurannya.
“Kelibat orang utan memang biasa kami lihat di kawasan berdekatan rumah panjang, ladang gaharu dan di kebun-kebun, terutama semasa musim buah-buahan. Sarangnya juga dijumpai tidak jauh dari kawasan rumah panjang kami,” kata Tr. Manggat Meringai.
Pertembungan antara manusia dan mamalia ini di kawasan ini bukanlah secara sengaja, sebaliknya diusahakan dengan matlamat serampang dua mata iaitu untuk memelihara dan memulihara habitat semula jadi orang utan di Ulu Menyang dan dalam masa yang sama memberi sumber pendapatan tambahan kepada komuniti setempat.
Menurut Pengarah Hutan Sarawak, Datuk Hamden Mohammad, inisiatif pembukaan ladang gaharu ini dilancarkan oleh Jabatan Hutan Sarawak selepas diberi mandat oleh mantan Ketua Menteri, Pehin Sri Taib Mahmud dalam tahun 2013 demi memulihara kawasan berkenaan.
Program pemuliharaan di kawasan seluas 14,000 hektar ini disasarkan untuk memberi sumber pendapatan kepada penduduk rumah panjang dan dalam masa yang sama mengekang penduduk dari membuka kawasan baharu untuk tujuan pertanian, lebih-lebih lagi kegiatan pertanian yang bersifat monokultur dan invasif.
Pokok gaharu (Aquilaria sp.) dipilih sebagai tanaman utama kerana ia mudah membesar, tidak alah kepada serangga dan penyakit, tidak memerlukan kawasan yang amat luas, spesies ideal untuk tanah Temuda (Tanah Adat Bumiputera), tidak memerlukan racun dan nilai gaharu lebih tinggi daripada tanaman lain.
Untuk komuniti pula, penanaman gaharu ini memberikan mereka sumber pendapatan baharu melalui damar dan daunnya yang boleh dijadikan teh premium.
Secara keseluruhannya penanaman gaharu yang mesra alam juga merupakan alternatif penjanaan pendapatan komuniti tanpa memusnahkan alam semula jadi.
Bagi orang utan pula, dengan adanya aktiviti pertanian terkawal, habitat mereka terpelihara. Pada masa akan datang, haiwan ini boleh menjadikan ladang gaharu sebagai taman permainan mereka juga.
Ternyata percaturan yang dimulakan enam tahun lalu kini sudah menampakkan hasilnya. Pokok gaharu tumbuh subur, penduduk Rumah Manggat sudah mula menuai daun gaharu sementara menanti pohonnya matang dan orang utan pula selesa dengan persekitaran ini.
Fenomena ini menggambarkan betapa indahnya keserasian di antara manusia dan flora fauna ini sehingga projek ini memenangi Pingat Emas bagi Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (AKPANS) dalam kategori High Performance Team (HPT) pada tahun lalu.
SEJARAH LADANG GAHARU
Digelar sebagai Beginning Of A Journey, program ini mempunyai beberapa objektif utama iaitu memulihara biodiversiti dan integriti ekologi, mempromosi kebajikan dan melonjakkan kehidupan komuniti setempat, menjamin penggunaan tanah yang mampan dan dasar penerokaan hutan sifar sambil menjana pendapatan melalui pengeluaran teh gaharu, melaksanakan model pemuliharaan perniagaan di Sarawak dan merangsang pengeluaran produk pelancongan berasaskan gaharu.
Sejarahnya awal ladang gaharu ini bermula daripada ekspedisi penyelidikan dalam tahun 2012 dan 2013 oleh Jabatan Hutan Sarawak (JHS) yang menemui lebih 1,000 sarang orang utan di kawasan Ulu Menyang di Batang Ai.
Penemuan sarang orang utan di Menyang Taih ini melambangkan hutan hujan dalam keadaan baik.
Hamden berkata, mamalia ini sukakan habitat yang tidak banyak gangguan. Justeru kelompok haiwan ini akan memilih tempat yang terlindung dan jauh dari penempatan manusia.
Ekoran penemuan ini, JHS membuat keputusan untuk melindungi kawasan tersebut dengan pendekatan yang belum pernah dilaksanakan sebelum ini iaitu dengan mewujudkan persekitaran baik untuk mamalia yang tersenarai di dalam kategori Haiwan Terlindung Sepenuhnya di negeri ini.
JHS kemudian berbincang dengan penduduk kampung di sekitar kawasan Ulu Menyang untuk menjaga kawasan habitat orang utan dan telah memilih Rumah Manggat sebagai komuniti perintis bagi projek penanaman gaharu.
Kerjasama di antara JHS dan Rumah Manggat ini dimulakan dalam tahun 2014 dengan hanya menanam beberapa anak pokok gaharu sebagai percubaan.
Dalam tahun 2016, jumlah pokok di tambah kepada 3000. Pada tahun 2017, WWF-Malaysia turut serta di dalam projek ini dan pada tahun yang sama jumlah anak pokok bertambah kepada 11,000.
WWF-Malaysia bertindak sebagai penyumbang dana untuk pembelian anak pokok gaharu, manakala pembekalnya adalah Aquilaria Plantation Sdn Bhd.
Bagi mempercepatkan proses penanaman anak-anak pokok, JHS telah membawa masuk sukarelawan yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggu untuk membantu penduduk Rumah Manggat.
Ini memandangkan populasi Rumah Manggat agak rendah dengan hanya 40 orang sahaja dan kebanyakannya terdiri daripada warga berusia.
Kini sebanyak 14,000 anak pokok gaharu telah ditanam di atas tanah yang dinyahgred seluas 5.5 hektar.
Sehingga kini hanya Rumah Manggat sahaja yang terlibat di dalam projek ini dan memberi manfaat kepada semua isi rumah di rumah panjang 15 pintu ini.
MANFAAT
Sementara itu, menurut Pengurus Projek Inisiatif Iklim Antarabangsa, WWF-Malaysia Cynthia Chin, projek penanaman gaharu ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk tempatan, tetapi juga kepada orang utan dan alam sekitar.
Menerusi projek ini, penduduk kampung dapat menjana pendapatan sampingan melalui penjualan daun gaharu yang akan diproses menjadi teh gaharu.
Di samping itu, mereka juga mendapat pendapatan dari pelawat-pelawat yang menggunakan khidmat inap desa yang disediakan.
Dengan pendapatan sampingan ini, penduduk kampung tidak lagi membuka kawasan baharu untuk tujuan pertanian.
Selain itu, kawasan yang ternyahgred dapat dipulihkan apabila tanah tersebut digunakan untuk projek penananam pokok.
Keadaan ini kemudiannya akan mengalakkan pertumbuhan tumbuhan asal di kawasan tersebut kerana pokok gaharu merupakan spesis tempatan dan tidak bersifat invasif.
Kaedah penjagaan pokok gaharu juga bersifat mesra alam. Menariknya, penduduk kampung akan membuang sendiri ulat yang terdapat pada pokok gaharu sebagai langkah pengawalan serangga perosak.
Baja yang digunakan pula baja jenis kompos yang boleh memperbaiki struktur tanah. Segala manfaat tersebut secara tidak langsung dapat memelihara, memuliharadan mengekalkan habitat semula jadi orang utan di kawasan Ulu Menyang.
Oleh Haini Darani