
SIBU: Penubuhan Akademi Biliard dan Snuker Wilayah Utara di Bayan Baru, Pulau Pinang baru-baru ini disambut baik oleh Swan City Recreational Club Sibu (SCRCS), yang menyifatkannya sebagai satu langkah besar dalam pembangunan sukan tersebut di Malaysia.
Presidennya, Mark Yeo, berkata akademi pertama seumpamanya di negara ini diyakini mampu menjadi pemangkin kepada kelahiran pemain bertaraf antarabangsa.
Namun begitu, beliau meluahkan kekecewaan kerana Sarawak masih belum memiliki kemudahan serupa.
“Komuniti snuker tempatan sudah lama menyuarakan keperluan sebuah akademi seperti ini di Sarawak, tetapi ia masih kekal sebagai impian yang belum menjadi kenyataan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Kejohanan Tertutup Snuker Jumbo Sibu di Pusat Snuker Executive 3, Sibu.
Kejohanan tersebut menghimpunkan seramai 48 peserta dan turut menjadi platform pencarian bakat baharu dalam kalangan pemain tempatan.
Yeo turut menyentuh cabaran yang dihadapi oleh pemain muda di Sarawak apabila sukan snuker masih diklasifikasikan sebagai hiburan oleh kerajaan negeri.
“Di Semenanjung, pemain muda seawal usia 18 tahun menerima latihan harian di pusat-pusat snuker swasta. Tetapi di Sarawak, tanpa pengiktirafan sebagai sukan rasmi, usaha membangunkan snuker berdepan pelbagai halangan,” katanya lagi.
Menurutnya, sekatan seperti larangan terhadap pemain bawah umur 18 tahun untuk bermain tanpa kehadiran ibu bapa menghalang potensi pembangunan sukan itu.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri untuk menilai semula klasifikasi sukan snuker serta menyediakan sokongan menyeluruh kepada pemain dan penggiat industri berkenaan.
“Snuker bukan lagi dikaitkan dengan gejala sosial. Ia kini merupakan sukan profesional yang dikawal selia dengan peraturan antarabangsa,” tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, SCRCS turut menggesa Persekutuan Sukan Biliard dan Snuker Sarawak (SBSSF) agar lebih proaktif dalam menyokong pembangunan sukan tersebut di negeri ini.
Akademi Biliard dan Snuker Wilayah Utara telah dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan Persekutuan, Hannah Yeoh.
Majlis Sukan Negara memperuntukkan RM500,000 untuk pembelian peralatan, manakala kerajaan negeri Pulau Pinang menyediakan dana berjumlah RM1.3 juta bagi kerja-kerja pengubahsuaian.
Menurut Hannah, penubuhan akademi seumpama ini di negeri lain bukanlah sesuatu yang mudah atau murah kerana ia memerlukan komitmen tinggi daripada kerajaan serta tahap penyertaan aktif sukan itu di peringkat negeri.
Katanya lagi, Malaysia kini mempunyai rekod cemerlang dalam sukan biliard dan snuker di peringkat antarabangsa.
“Ketika ini, tiga pemain kebangsaan berada dalam Program Podium, manakala jumlah pemain aktif di seluruh negara dianggarkan sekitar 300,000 orang,” ujarnya.
Oleh Tarani Lanting