
LONDON: Sarawak menawarkan peluang pelaburan dan pertumbuhan masa depan yang kukuh disokong oleh kestabilan politik, rakyat yang rasional serta dasar pembangunan yang konsisten.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan Sarawak telah merangka hala tuju pembangunan sehingga 2030 dan kini merancang untuk tempoh seterusnya hingga 2035.
Menurutnya, ini penting agar pelabur dapat menilai tahap risiko, pulangan serta kemampanan pelaburan mereka.
“Apa yang saya nyatakan di sini ialah Sarawak merupakan sebuah wilayah yang mempunyai potensi besar untuk pertumbuhan masa hadapan. Itu yang pertama.
“Kedua, kita menikmati kestabilan dan rakyat Sarawak pula bersikap rasional.
“Ketiga ialah keperluan untuk mempunyai pelan hala tuju. Dasar yang digubal perlu bersifat konsisten, tanpa mengira siapa yang memegang tampuk kepimpinan sebagai Premier. Ia mesti kekal berpandangan jauh ke hadapan.
“Kami telah meletakkan asas pembangunan sehingga 2030. Malah kini kami telah mula merancang hingga ke 2035. Dengan persekitaran sebegini, para pelabur boleh membuat penilaian sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Fireside Chat Sesion: Sarawak’s Global Vision: Sustainability, Innovation & Strategic Partnerhips dalam Sarawak Connects 2025 di sini. Moderator bagi sesi tersebut ialah Lord Jonathan Marland.
Beliau menambah, dalam persekitaran sebegitu, para pelabur tentunya menginginkan negara yang aman dan selamat.
“Elemen itu memang wujud di Sarawak yang sangat mengagumkan.
“Kami juga dalam kalangan negara Komanwel yang berjumlah 56 negara, tidak semuanya mengamalkan kedaulatan undang-undang seperti yang kita bincangkan.
“Begitu juga aspek keselamatan. Namun, ramai yang memilikinya, dan ramai juga yang melihat peluang luar biasa yang ditawarkan oleh Sarawak,” jelasnya lagi. – UKAS