
PUTRAJAYA: Syarikat pengeksport sarung tangan getah perlu memastikan produk mereka benar-benar melalui proses pembuatan dalam negara untuk layak menerima sijil asal yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata hanya produk yang diproses dan dihasilkan sepenuhnya dalam negara dibenarkan untuk dieksport, selaras dengan komitmen Malaysia kepada rakan dagang antarabangsa seperti Amerika Syarikat (AS).
“Kita tidak benarkan sarung tangan getah yang telah siap dibuat di luar negara masuk ke Malaysia hanya untuk tukar kontena dan dokumen asal sebelum dieksport semula. Itu tidak melalui proses pembuatan dalam negara dan tidak boleh diterima,” katanya kepada media selepas merasmikan Malam Gala Jubli Perak Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), di sini, malam ini.
Turut hadir Pengerusi MPOB Datuk Mohamad Helmy Othman Basha dan Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.
Johari berkata Malaysia ketika ini menghasilkan kira-kira 348,000 tan metrik getah setahun, jauh lebih rendah berbanding keperluan industri melebihi satu juta tan metrik.
“Oleh itu, bahan mentah seperti lateks dari Thailand tetap dibenarkan untuk diimport kerana ia diproses sepenuhnya dalam negara sebelum dijadikan produk akhir.
“Yang penting, proses itu berlaku di sini. Kita tidak mahu Malaysia menjadi lokasi pengalihan dagangan (trade diversion) bagi produk siap dari negara lain. Ini bagi melindungi reputasi dan kelestarian industri getah tempatan,” tegasnya.
KPK baru-baru ini memaklumkan hanya syarikat pengeksport sarung tangan getah yang berlesen dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) dibenarkan mengeksport produk yang diperoleh daripada sumber kilang pembuatan tempatan.
Langkah tersebut diambil bagi menjamin kualiti produk dan mengelakkan risiko Malaysia digunakan sebagai laluan eksport produk siap dari negara ketiga. – Bernama