
KUCHING: Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, Michael Kong menyuarakan kebimbangan serius terhadap keadaan sebuah taman awam di belakang Lorong Stampin Baru 4B yang disifatkannya sebagai terbiar dan tidak selamat untuk kegunaan awam.
“Semasa lawatan saya baru-baru ini, saya amat kecewa melihat keadaan taman tersebut yang semakin merosot.
“Apa yang sepatutnya menjadi ruang hijau untuk dinikmati masyarakat kini bertukar menjadi kawasan tercemar dan berisiko kepada keselamatan,” katanya.
Menurut Kong, laluan pejalan kaki di taman berkenaan kini dilitupi lumut hingga menjadi licin dan berbahaya, manakala lekapan lampu pula tersembunyi di sebalik pokok menjalar dan semak yang tidak terurus.
Tambahan pula, katanya, longkang dipenuhi serpihan dan daun kering, manakala pokok-pokok dibiarkan tumbuh tanpa penyelenggaraan berkala.
“Walaupun terdapat kerja-kerja pemotongan rumput dilakukan sekali-sekala, jelas kontraktor penyelenggaraan mengabaikan aspek penting lain seperti kebersihan dan keselamatan,” katanya lagi.
Jelasnya, mengikut peraturan sedia ada, pemaju perumahan diwajibkan memperuntukkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada tanah pembangunan (bagi projek melebihi satu hektar) untuk taman awam — kos yang akhirnya ditanggung oleh pembeli rumah.
Justeru, Kong menegaskan kemudahan awam tersebut sewajarnya diselenggara secara berkala dan menyeluruh.
“Sarawak bukan kekurangan dana. Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mengutip jutaan ringgit melalui cukai dan taksiran setiap tahun.
“Namun, kemudahan asas seperti taman awam masih dibiarkan reput,” ujarnya.
Kong turut menggesa MBKS serta Kementerian Kesihatan Awam, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak agar segera campur tangan dan menangani isu ini.
“Taman awam bukan sekadar ruang landskap.
“Ia penting untuk kesihatan masyarakat, interaksi sosial dan peningkatan kualiti hidup.
“Kita perlukan pelan penyelenggaraan yang berstruktur dan proaktif bagi memastikan taman ini selamat dan mesra untuk keluarga, kanak-kanak serta warga emas,” tegasnya.
Oleh Connie Chieng