
DALAM Islam, pekerjaan bukan sekadar cara untuk memperoleh rezeki, malah ia merupakan satu bentuk ibadah yang mulia jika dilakukan dengan niat yang ikhlas dan cara yang halal.
Islam tidak memandang rendah kepada pekerjaan, malah memartabatkannya sebagai satu amanah dan tanggungjawab yang mulia di sisi Allah SWT.
Hal ini menunjukkan bahawa pekerja, tidak kira apa jua jenis pekerjaan yang dilakukan selagi mana ia halal dan bermanfaat, memainkan peranan besar dalam membina masyarakat yang sejahtera dan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.
Dalam surah al-Jumu’ah ayat 10 Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia Allah, dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.”
Ayat ini memberi isyarat bahawa mencari rezeki selepas menunaikan solat ialah satu bentuk ketaatan.
Allah SWT tidak melarang manusia bekerja dan mencari rezeki, bahkan menyuruh mereka melakukannya dengan bersungguh-sungguh.
Rasulullah SAW menunjukkan penghargaan terhadap pekerja. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah seseorang itu makan makanan yang lebih baik daripada hasil kerja tangannya sendiri.” (Riwayat Bukhari)
Islam menitikberatkan mengenai sumber rezeki.
Mencari nafkah secara halal bukan sahaja menjamin keberkatan dalam hidup, malah membawa kepada kejayaan dunia dan akhirat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mencintai seseorang yang apabila dia melakukan suatu pekerjaan, dia melakukannya dengan itqan (teliti dan bersungguh-sungguh.” (Riwayat al-Baihaqi)
MENJAGA HAK DAN KESEJAHTERAAN PEKERJA
Islam bukan sahaja memuliakan pekerja dari segi kedudukan spirtual, tetapi juga memberikan garis panduan yang jelas dalam memastikan kebajikan mereka terpelihara.
Rasulullah SAW amat menitikberatkan kebajikan pekerja dan melarang keras sebarang bentuk penindasan terhadap mereka.
Dalam satu hadis, Baginda SAW bersabda: “Berilah upah kepada pekerja sebelum kering peluhnya.” (Riwayat Ibn Majah)
Hadis ini menggambarkan bahawa Islam bukan sahaja mengiktiraf sumbangan pekerja, malah menyeru agar majikan menjaga kebajikan mereka dengan adil dan ihsan.
Dalam masyarakat moden, prinsip ini boleh diterjemahkan dalam bentuk pembayaran gaji yang adil dan tepat pada masanya, jaminan keselamatan pekerjaan dan persekitaran kerja yang selamat.
Islam menghapus segala bentuk diskriminasi dalam pekerjaan. Apa yang membezakan manusia di sisi Allah SWT bukanlah status sosial atau jenis kerja, tetapi ketakwaan.
Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud: “Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa di antara kamu.”
Ini menunjukkan bahawa seorang pekerja buruh, pembersih, guru atau jurutera, semuanya mempunyai darjat yang sama selagi mana mereka bertakwa dan menjalankan tugas dengan baik.
Islam tidak mengiktiraf kelas sosial dalam menilai seseorang, sebaliknya menilai pada kejujuran, usaha dan integriti.
Rasulullah SAW sendiri merupakan seorang yang bekerja sebelum diangkat menjadi rasul. Baginda pernah menjadi penggembala kambing dan juga ahli perniagaan.
Baginda dikenali sebagai seorang yang amanah, jujur dan adil dalam urusannya. Para sahabat seperti Saidina Umar al-Khattab juga terkenal dengan sikap yang tegas dan adil dalam menguruskan pekerja dan rakyat.
Islam tidak menolak dunia, malah menggalakkan umatnya untuk berusaha dan bekerja. Namun, keseimbangan antara pekerjaan dan ibadah tetap perlu dijaga.
Bersesuaian dengan firman-Nya yang bermaksud: “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah SWT kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu lupakan bahagianmu dari (kenikmatan) dunia.” (surah al-Qasas ayat 77)

Ketinggian akhlak Thalhah bin Ubaidillah
Thalhah bin Ubaidillah memiliki keperibadian yang sangat unggul. Beliau sememangnya seorang yang berakhlak mulia walaupun sebelum memeluk Islam.
Setelah beliau memeluk Islam pada usia yang sangat muda, Rasulullah SAW telah membentuk akhlak beliau sehinggakan beliau memiliki akhlak yang sangat baik.
Sebagaimana yang telah dinyatakan, Thalhah bin Ubaidillah memiliki sifat pemurah. Beliau amat senang bersedekah kepada orang lain.
Malah beliau telah mengeluarkan sedekah dengan jumlah yang cukup banyak.
Selain itu, Thalhah bin Ubaidillah ialah seorang insan yang sangat berbudi bahasa, lembut tutur katanya, sopan santun dalam perbuatannya, bersikap toleransi dan sangat rendah hati.
Malah beliau sememangnya dikenali oleh orang-orang Quraisy sebagai salah seorang dari kalangan Quraisy yang lembut dalam berbicara.
Qais bin Abi Hazim berkata, “Aku mendengar Thalhah bin Ubaidillah berkata, “Sesungguhnya aib terkecil bagi seorang lelaki adalah dengan duduk berdiam diri di rumahnya”.
Kata-kata begini sungguh sopan, namun mempunyai maksud yang sangat mendalam.
Sifat kelembutan dan sopan santun yang ada pada diri Thalhah bin Ubaidillah turut diakui oleh wanita-wanita di Madinah sehinggakan mereka tertarik dengan Thalhah bin Ubaidillah.
Beliau bukan sahaja memiliki akhlak yang baik, malah wajahnya juga sangat tampan.
Thalhah bin Ubaidillah memiliki sifat yang lebih lembut berbanding Saidina Umar, Zubair dan Saidina Ali yang sememangnya terkenal dengan sifat yang garang dan tegas.
Sifat lemah lembut inilah yang membuatkan Ummu Aban lebih cenderung untuk memilih Thalhah bin Ubaidillah berbanding mereka yang lain.
Selain itu, senyumannya sering terpancar di wajahnya. Jika diminta beliau akan memberi dan jika ada yang berbuat baik beliau akan segera berterima kasih dan membalas kebaikan tersebut dengan yang lebih baik.
Jika beliau dizalimi, maka beliau akan cepat memaafkan. Begitulah ketinggian akhlak seorang sahabat Rasulullah yang bernama Thalhah bin Ubaidillah ini.
Imam At Tabrani telah meriwayatkan dari Thalhah bin Ubaidillah, bahawasanya Thalhah pernah mengimamkan solat bersama satu kaum.
Setelah selesai mengerjakan solat itu, beliau bertanya kepada mereka, “Sesungguhnya sebelum aku menjadi imam solat kalian tadi aku lupa untuk mempersilakan kalian menjadi imam. Oleh itu, apakah kalian redha dengan solatku tadi (sebagai imam)?”. Mereka pun berkata, “Ya, siapakah yang tidak menyukainya wahai pembela Rasulullah SAW?” Thalhah bin Ubaidillah berkata lagi, “Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah bersabda bahawa apabila ada orang yang mengimami suatu kaum sementara mereka tidak menyukainya, maka solatnya tidak akan sampai ke telinganya”.
Lihatlah sikap Thalhah bin Ubaidillah. Walaupun beliau diberi penghormatan oleh satu kaum kerana kedudukannya, namun beliau tetap bertanya kepada mereka sama ada mereka redha dengan penghormatan yang telah diberikan.
Selain itu, Thalhah bin Ubaidillah juga memiliki hati yang sangat lembut sehingga hanya melihat tukang besi meleburkan besi di dalam api telah mengingatkan beliau dengan api neraka.
Hanzalah Azman