
KABONG: Dua projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM450,000 telah diluluskan bagi menaik taraf kemudahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Alit dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata dua projek terbabit iaitu projek menaik taraf dewan terbuka SK Kampung Alit berjumlah RM250,000 dan projek naik taraf padang SK Alit berjumlah RM200,000.
“Sejak 2016 hingga tahun ini, rata-rata sekolah di kawasan DUN Kabong telah dinaik taraf menggunakan peruntukan kerajaan Sarawak melalui RTP.
“Pelan pembangunan RTP digiatkan kerajaan Sarawak pada masa kini, selain dimanfaatkan menaik taraf sekolah turut diperuntukkan untuk pembangunan kawasan luar bandar,” katanya semasa berucap merasmikan majlis Ramah Tamah Aidilfitri SK Kampung Alit, semalam.
Chee Kadir berkata percaya bahawa pendidikan adalah asas utama pembinaan tamadun dan kemajuan bangsa.
“Maka, adalah menjadi tanggungjawab semua untuk memastikan anak-anak kita menerima pendidikan yang terbaik dalam persekitaran yang kondusif dan selesa. Kita mahu melihat lebih banyak kejayaan dilakar oleh anak-anak luar bandar, dan untuk itu kita perlu bersatu tenaga melalui warga pendidik, ibubapa, komuniti dan juga pihak pemimpin,” jelasnya.
Beliau juga turut menyatakan komitmen untuk memberikan perhatian dan sokongan kepada pembangunan pendidikan di kawasan ini, khususnya bagi sekolah-sekolah seperti SK Kampung Alit.
Pada majlis tersebut, Chee Kadir turut meluluskan geran projek khas kerajaan Sarawak kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kampung Alit berjumlah RM7,000.
Beliau turut menyempurnakan simbolik penyerahan geran projek khas kerajaan Sarawak kepada Jawatankuasa Pengurusan (JKP) Masjid Assabirin Kabong berjumlah RM10,000, JKP Masjid Assasul Islam Kampung Alit (RM5,000) JKP Masjid Lebai Mat Kampung Emplam (RM5,000) dan JKP Masjid Lama Kampung Alit (RM3,000).
Turut hadir Guru Besar SK Kampung Alit, Zulkifli Embir, Datin Meryani Yasdin, Yang Dipertua PIBG SK Kampung Alit, Mahathir Omar dan tetamu jemputan yang lain.
Oleh Adi Safarman