
LONDON: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama delegasi kerajaan Sarawak tiba di London semalam dalam rangka lawatan kerja rasmi selama empat hari.
Ketibaan beliau pada 5.30 petang waktu tempatan disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom dan Ireland Utara, Dato’ Zakri Jaafar.
Mengiringi rombongan Premier Sarawak ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel.
Hari ini, Premier Sarawak mengadakan kunjungan ke Cambridge University Press and Assessment, sebuah institusi bukan sekolah di bawah Universiti Cambridge yang menyediakan pelbagai produk dan perkhidmatan dalam bidang pendidikan, pembelajaran, penyelidikan dan penilaian kelayakan.
Perkhidmatan penilaian yang ditawarkan termasuk pengurusan pelbagai jenis ujian, khususnya kelayakan untuk peringkat sekolah dan pendidikan tinggi, serta ujian standardisasi yang berkaitan dengan pelaksanaan penilaian di sekolah di Sarawak.
Manakala pada 1 Mei pula, Abang Johari akan mengetuai delegasi ke London School of Economics and Political Science (LSE) untuk menghadiri sesi meja bulat mengenai kelestarian, diikuti pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara LSE dan Kerajaan Sarawak.
Pada sebelah petang hari yang sama, beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan pegawai International Hydropower Association dan Global Renewable Alliances bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang tenaga hidro, sejajar dengan peranan Sarawak sebagai penyedia tenaga hidro utama di rantau ASEAN.
Seterusnya pada 2 Mei, Premier Sarawak akan menyampaikan ucaptama dalam Sarawak Connects In London: Sarawak’s Pathway To Sustainable Growth & Global Market Expansion.
Inisiatif itu merupakan libat urus secara langsung dengan pelabur sasaran selain menyampaikan maklumat terkini mengenai peluang dan persekitaran pelaburan di Sarawak kepada pelabur di United Kingdom dan peringkat antarabangsa.
Selanjutnya pada 3 Mei, beliau akan menghadiri program Lan Berambeh Anak Sarawak bersama pelajar Sarawak di United Kingdom.
Objektif program ini adalah memberi peluang kepada rakyat Sarawak di United Kingdom untuk memahami dasar dan pendekatan kerajaan dalam usaha membangunkan Sarawak yang berdaya saing selaras dengan pelan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 Sarawak (PCDS 2030).
Seterusnya program ini merupakan platform bagi menyediakan ruang kepada pelajar Sarawak untuk bertemu pemimpin negeri serta menyuarakan idea dan pandangan mereka kepada Premier Sarawak dalam sesi Townhall. – UKAS