
Ruben Amorim. Foto fail AFP
LONDON: Ruben Amorim meletakkan segala harapan pada Liga Europa selepas kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester United yang gagal, dengan menyedari musim ini dan musim hadapan bergantung sepenuhnya kepada kejayaan memenangi piala itu.
Amorim mengambil alih jawatan daripada Erik ten Hag yang dipecat pada November lalu, ketika United berada di tangga ke-13 liga dalam keadaan yang menyedihkan dan kini mereka berada di kedudukan ke-14.
Bekas pengendali Sporting Lisbon itu tidak menerima tekanan lebih hebat adalah kerana ramai yang menyedari betapa besar cabaran sedang dihadapinya di Old Trafford.
United yang suatu ketika dahulu begitu dominan di bawah Sir Alex Ferguson kini bakal menamatkan musim dengan jumlah mata terendah dalam era EPL.
Namun, pasukan bimbingan Amorim masih berpeluang menyelamatkan musim mereka dengan menjuarai Liga Europa yang turut menawarkan tempat ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.
Kepulangan ke pertandingan kelab elit Eropah itu mampu mengubah hala tuju jangka pendek kelab, bukan sahaja dari segi kewangan malah menarik pemain baharu ke Old Trafford.
Namun, laluan United di separuh akhir tidak mudah apabila berdepan Athletic Bilbao, pasukan di tangga keempat La Liga yang turut mendapat motivasi tambahan apabila final akan diadakan di stadium mereka sendiri.
Pemenang separuh akhir itu akan berdepan sama ada Tottenham Hotspur yang bergelut dengan prestasi tidak konsisten atau juara Norway, Bodo/Glimt di pentas akhir. Amorim, 40, mengakui menjuarai Liga Europa akan memberi suntikan besar kepada skuadnya yang sedang bergelut.
“Dalam konteks ini, memenangi kejohanan seperti itu sangat besar bagi kami dari segi keyakinan dan untuk masa depan, musim yang akan datang,” katanya.
“Bermain di UCL akan mengubah segala-galanya. Suasana, cara kami menghadapi musim panas, bajet perbelanjaan semuanya berkait dengan kejohanan ini.”
Walaupun prestasi sangat mengecewakan di EPL, United adalah satu-satunya pasukan yang masih belum tewas dalam kempen di Eropah musim ini, sama ada bagi kelab di UCL atau Liga Europa.
Di suku akhir menentang Lyon, walaupun mereka menguasai perlawanan kedua di Old Trafford, kelemahan lama kembali menghantui.
Mereka mendahului 2-0, tetapi ketinggalan 2-4 sebelum menang tipis 5-4 untuk menjadikan agregat 7-6, tetapi Amorim pasti sedar keajaiban seperti itu sukar berulang dan pasukannya perlu tampil lebih meyakinkan.
Satu perkembangan positif untuk United ialah penyerang muda Rasmus Hojlund menjaringkan gol keduanya dalam EPL sejak awal Disember, ketika seri 1-1 menentang Bournemouth pada Ahad.
Kapten pasukan, Bruno Fernandes yang muncul penjaring terbanyak United dengan 17 gol musim ini berharap jaringan tersebut akan meningkatkan keyakinan penyerang Denmark itu. – AFP