
TANJUNG MANIS: Usaha Sarawak untuk menjadi peneraju ekonomi hijau rantau ini terus diperkukuh apabila 10,300 hektar kawasan bakau di Kampung Paloh dan Kampung Serdeng dipilih untuk pelaksanaan salah satu projek karbon biru terbesar di Asia Tenggara.
Projek anjuran Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dengan kerjasama Worldview Climate Solutions Sdn Bhd (WCS) tersebut mendapat suntikan semangat baru menerusi sesi dialog komuniti yang diadakan selama dua hari, iaitu pada 28 April dan 29 April lalu.
Ia memberi tumpuan kepada pemuliharaan ekosistem bakau secara menyeluruh, bukan sahaja untuk mengurangkan pelepasan karbon, malah mengoptimumkan potensi ekonomi jangka panjang bagi komuniti pesisir.
Penolong Pengurus Besar Bahagian Pengurusan Sumber Lestari PUSAKA, Hamzah Morshidi berkata, kejayaan inisiatif tersebut bergantung kepada komitmen aktif dan sokongan masyarakat setempat.
“Komuniti adalah pemegang taruh utama. Sokongan mereka akan menentukan keberkesanan pelaksanaan projek dalam jangka masa panjang, terutamanya dalam menjaga ekosistem bakau dan memastikan kelestarian sumber semula jadi,” katanya.
Turut terlibat dalam program tersebut ialah agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah Tanjung Manis, Jabatan Hutan Sarawak, Perbadanan Hutan Sarawak (SFC), serta Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Mukah.
Sokongan akar umbi juga terserlah dengan kehadiran pemimpin tempatan termasuk Penghulu Kampung Paloh, ketua kaum dari kampung sekitar serta tuai rumah dari Telok Gelam dan Berangan.
Taklimat projek disampaikan oleh Pegawai PUSAKA, Nizam Abdullah; wakil WCS, Briggette Phillip dan Pegawai SFC, Winnie Akin yang menerangkan kepentingan karbon biru dalam menangani perubahan iklim, melindungi pantai daripada hakisan dan menambah baik kualiti biodiversiti pesisir.
Komuniti turut didedahkan kepada peluang yang bakal dibuka menerusi projek ini iaitu termasuk peluang pekerjaan, program pembangunan kapasiti, pelancongan berasaskan alam semula jadi dan peningkatan infrastruktur.
Sesi dialog juga memberi ruang kepada penduduk untuk berkongsi pandangan, cadangan dan harapan bagi pelaksanaan inisiatif ini.
Dalam pada itu, pengurus projek, Endela Tipot menyatakan penghargaan terhadap keterbukaan masyarakat setempat.
“Kami amat berterima kasih atas kerjasama komuniti setempat dan berharap semangat ini dapat diteruskan demi kelangsungan projek serta manfaat bersama,” katanya.
Secara keseluruhan, projek karbon biru ini memperlihatkan komitmen jangka panjang Sarawak dalam membina masa depan hijau yang inklusif dan mapan, sejajar dengan aspirasi negeri menjadi peneraju ekonomi hijau Malaysia dan Asia Tenggara.
Oleh Earl Anek