
KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri menegaskan bahawa gangguan seksual tidak semestinya melibatkan sentuhan fizikal, malah sebarang bentuk gangguan, termasuk lisan atau isyarat yang berbaur seksual, perlu diberi perhatian serius.
Beliau mengulas mengenai kejadian tular melibatkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang didakwa diganggu oleh seorang pemandu e-hailing ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
Dalam insiden tersebut, lelaki terbabit dilaporkan meminta mangsa membuka tudungnya, dan kejadian itu telah dirakam serta dimuat naik ke media sosial.
Menurut Nancy, tindakan tegas bapa mangsa yang terus membawa anaknya ke balai polis untuk membuat laporan menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap isu gangguan seksual semakin meningkat.
“Kes ini sedang disiasat pihak berkuasa dan kita percaya polis akan mengambil tindakan segera dan adil dalam menangani kes sebegini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut menggesa agar semua pihak termasuk remaja tampil bersuara dan tidak takut melaporkan sebarang bentuk gangguan seksual demi menjaga keselamatan serta maruah diri.
“Kementerian komited untuk memperkasa keadilan termasuk melalui pelaksanaan penuh Tribunal Gangguan Seksual yang telah diperkenalkan di bawah Akta Gangguan Seksual,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, Nancy mengajak semua lapisan masyarakat tanpa mengira jantina, latar belakang atau peranan agar bersama-sama mewujudkan persekitaran yang selamat dan hormat-menghormati dengan tidak berdiam diri sekiranya menyaksikan atau mengalami insiden gangguan seksual.
“Peranan ibu bapa, pendidik dan rakan sekerja amat penting dalam melindungi golongan rentan khususnya wanita dan kanak-kanak,” tambah beliau.