
SARATOK: Sejak diperkenalkan tahun lalu oleh Kerajaan Persekutuan, pelaksanaan Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) merupakan inisiatif baharu yang bertujuan untuk merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat kampung dan komuniti bagi meningkatkan pendapatan dengan pemberian geran sehingga RM100,000 kepada penerima yang layak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata program ini merupakan inisiatif yang sangat penting dalam usaha untuk merubah sosio-ekonomi luar bandar dan menjana limpahan ekonomi yang mampan serta berterusan terutama peluang pekerjaan buat anak muda.
“Selepas mereka mendapat dana dan dilaksanakan, contohnya aktiviti ekonomi berasaskan industri pelancongan komuniti ataupun aktiviti ekonomi berasaskan kraf tangan ataupun hasil pertanian, kita tidak mahu ia berakhir setakat itu sahaja tetapi harus dikembangkan menjadi aktiviti perniagaan.
“Mereka boleh saja memulakan projek berskala kecil dengan modal berkenaan dengan penyeliaan dan bantuan orang kampung. Lima sektor menjadi tumpuan dalam program SejaTi MADANI iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraf tangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan simbolik penyerahan sumbangan ketua isi rumah (KIR) SejaTi Madani Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kaba, semalam.
Seramai 117 orang penduduk telah menerima baucar wang tunai sebanyak RM500 seorang melibatkan jumlah keseluruhan RM58,500 peruntukan daripada SejaTi Madani.
Justeru, Mohamad Duri menggesa setiap JKKK yang belum memohon SejaTi Madani perlu mengambil peluang yang disediakan melalui program yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk menambah hasil dan pendapatan penduduk kampung.
“Bagi JKKK yang belum memohon Program SejaTi Madani, bolehlah berbincang dengan ahli JKKK masing-masing bagi mengenali program yang boleh menjana pendapatan untuk memohon secepat mungkin kerana RM70 juta peruntukan diperuntukkan bagi negeri Sarawak,” ujarnya.
Turut hadir Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid, Ketua Unit Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (SDO) Bahagian Betong, Radiah Muhamad dan Ketua Kampung Kaba, Ahmad Diwi Deli.
Oleh Adi Safarman