SIMANGGANG: Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak telah menerima peruntukan tambahan sebanyak RM1.87 juta bagi membeli alat pengimbas suhu badan untuk kegunaan sekolah dalam negeri ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Abang Mat Ali Abang Masagus berkata, pembelian alat pengimbas suhu itu penting untuk mengambil bacaan suhu badan murid dan pelajar seperti mana yang telah diwajibkan oleh pihak kerajaan dalam pelaksanaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
“Pihak kita sebelum ini telah pun diperuntuk sebanyak RM4.85 juta daripada Kementerian Pendidikan bagi menyedia lebih kelengkapan di sekolah seperti kemudahan mencuci tangan, pembelian pelitup muka dan pensanitasi tangan.
“Bagaimanapun pihak kementerian sebenarnya memberi lebih banyak penekanan terhadap tempat mencuci tangan agar para murid atau pelajar dapat menjadikan tabiat mencuci tangan sebagai satu amalan tetap ketika berada di sekolah sepanjang masa,” kata beliau.
Abang Mat berkata demikian ketika ditemui media sebaik sahaja selesai merasmikan Program Bicara Eksekutif Bersama Warga Pendidikan Daerah Sri Aman yang berlangsung di sebuah hotel dalam bandar ini baru-baru ini.
Beliau berkata, sekolah-sekolah dalam negeri ini turut mendapat bantuan daripada pihak luar berhubung pembelian alat pengimbas suhu badan untuk kegunaan harian para murid dan pelajar.
“Walaupun memperoleh peruntukan mencukupi daripada kementerian, pihak sekolah dalam negeri ini juga mendapat bantuan bagi membeli alat pengimbas suhu daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta invidu perseorangan.
“Kehadiran PIBG dan individu perseorangan ini secara tidak langsung telah membantu kita menambah jumlah alat pengimbas suhu badan murid dan pelajar yang sedia ada di sekolah sebelum itu,” kata beliau.
Terdahulu, seramai 27 Penolong Kanan Pentadbiran dan Akademik Sekolah Rendah dari Daerah Sri Aman telah mengikuti Program Bengkel Memperkasa Pengurusan dan Kepimpinan di sini. Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementeriaan Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak (MESTR), Kameri Affandi, Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman, Dr Abang Adam Abang Deli, Pegawai Tadbir Khas MESTR, Bihud Apok serta Wong Chung Kong, wakil Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Sarawak, Samen Sanggod dan Timbalan Sektor Pengurusan Sekolah PPD Sri Aman, Kwang Lau.
Oleh Valentine Ngumbang