
SARIKEI: Jamuan Raya Perpustakaan Desa (PD) Taman Susur Jambu bukan sekadar sambutan Aidilfitri, malah menjadi wadah memperkukuh hubungan komuniti serta menyemai semangat perpaduan antara masyarakat pelbagai lapisan.
Penyelia Zon 7 Sarawak Perpustakaan Negara Malaysia, Aimi Hamizah Adenan berkata, lebih 60 orang terdiri daripada ahli PD Taman Susur Jambu dan penduduk sekitar hadir memeriahkan jamuan yang disajikan dengan pelbagai juadah tradisional dan moden, sekali gus mencerminkan keharmonian dalam kepelbagaian.

“PD bukan hanya pusat ilmu, tetapi juga platform yang menyatukan komuniti melalui program seperti ini.
“Jamuan sempena Aidilfitri ini memberi ruang untuk masyarakat berkumpul, berkenalan dan mengeratkan hubungan tanpa mengira latar belakang, selaras dengan objektif Perpustakaan Negara Malaysia dalam mendekatkan perpustakaan kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.
Aimi turut menekankan bahawa aktiviti perpustakaan tidak lagi terhad kepada pembacaan semata-mata, malah meliputi pembangunan komuniti melalui pendekatan inklusif yang merangkumi semua lapisan masyarakat.
“Ia jelas menunjukkan peranan perpustakaan sebagai pusat komuniti yang aktif dan berfungsi sebagai penghubung sosial, terutamanya di kawasan taman perumahan dan desa,” katanya.
Tambahnya, suasana sepanjang jamuan berlangsung dalam keadaan penuh mesra dan harmoni.
Turut hadir Pengerusi Perpustakaan Desa Taman Susur Jambu, Zaidi Ya.
Oleh Earl Anek