
TANGGAL 14 April 2025 lepas kita kehilangan seorang tokoh yang memberi banyak jasa kepada negara kita iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi. Beliau merupakan Perdana Menteri kelima dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009.
Beliau lebih dikenali dengan nama Pak Lah yang merupakan tokoh politik berwibawa dan berpengalaman. Pak Lah dilahirkan pada 26 November 1939 dalam sebuah keluarga yang berpegang teguh kepada ajaran agama Islam di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Beliau menerima pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam dan Penang Methodist Boys School, Pulau Pinang.
Selepas itu beliau melanjutkan pendidikannya ke Universiti Malaya, dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Islam pada 1964.
Selepas tamat pengajian di Universiti Malaya beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai Penolong Setiausaha di Jabatan Perkhidmatan Awam.
Pada 1969, beliau telah diberi tugas penting dalam Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Badan ini merupakan badan berkuasa eksekutif yang ditubuhkan bagi mentadbir negara susulan insiden rusuhan kaum pada Mei tahun tersebut.
Selepas itu beliau dipilih dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Pengarah di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Kerjaya beliau terus bersinar apabila dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha di kementerian yang sama pada 1974.
POLITIK
Pak Lah menyertai UMNO pada 1964. Penyertaannya dalam bidang politik ini mula aktif apabila menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas pada 1978.
Beberapa tahun selepas itu iaitu pada 1981 beliau dipilih sebagai Ahli Majis Tertinggi UMNO. Pada 1984 beliau terpilih sebagai Naib Presiden UMNO dan kemudiannya sebagai Timbalan Presiden UMNO pada 2000.
Pada 2003 beliau dinaikkan sebagai PresidenUMNO dan seterusnya menjadi Perdana Menteri. Sebelum menjawat jawatan Perdana Menteri beliau pernah memegang beberapa potfolio di pelbagai kementerian.
Peringkat awal beliau pernah menjadi Timbalan Menteri, Kementerian Wilayah Persekutuan (1980-81). Kemudiannya menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1981-84), Menteri Pelajaran (1984-86) dan Menteri Pertahanan(1986-87).
Pada 15 Mac 1991, Tun Abdullah berpindah jawatan sebagai Menteri Luar. Selepas itu beliau dinaikkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri pada Januari 1999.
PENDIDIKAN
Pak Lah seorang pemimpin yang juga mengambil perhatian kepada pembangunan dan kebajikan penduduk Sarawak. Semasa menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri beliau pernah ke Sarawak untuk meninjau keadaan di negeri ini.
Antara perkara yang menjadi prihatiannya ialah pendidikan. Semasa di Miri dan Limbang pada September 2000, beliau telah menunjukkan keprihatinannya tentang masalah kemudahan sekolah di Sarawak.
Beliau mahu agar satu persekitaran yang baik harus diwujudkan untuk pelajar dan guru di sekolah. Dalam lawatan dan tinjauan ini, beliau mendapati ada beberapa sekolah yang tidak mempunyai bekalan elektrik dan air bersih.
Oleh itu, beliau menyatakan komitmen untuk membaiki 669 bangunan sekolah dan 3,991 unit kediaman guru, bukan sahaja di Sarawak tetapi juga di Sabah.
Beliau turut menyokong usaha kerajaan negeri menubuhkan Rural Growth Area, yang akan menyediakan kemudahan lengkap bagi sekolah-sekolah di Sarawak.
SETIA KAWAN
Pak Lah juga seorang yang mahu agar Sarawak tidak diganggu guggat dalam aspek politik. Ini kerana terdapat percubaan untuk membawa UMNO ke Sarawak pada 2000.
Dalam hal ini Pak Lah telah menunjukkan sikap setia kawan dengan ahli-ahli komponen Barisan Nasional di Sarawak terutama dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Dalam hal ini beliau menyatakan bahawa PBB telah menunjukkan kemampuan mereka memerintah Sarawak. Sarawak juga diperintah dengan baik dan tidak mempunyai masalah dalam pelbagai aspek.
Malahan PBB dan rakan komponen BN Sarawak yang lain juga menunjukkan keupayaan dalam pilihan raya negeri, dan tidak memerlukan UMNO menubuhkan cawangannya di Sarawak.
PEMBANGUNAN TENAGA
Salah satu lagi sumbangan bermakna yang dilakukan oleh Pak Lah adalah memulakan inisiatif dalam penubuhan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
SCORE telah diperkenalkan pada 2008, dan ia merupakan usaha untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi di Sarawak, terutamanya di kawasan tengah dan utara negeri ini.
Koridor ini memberi penekanan kepada pembangunan sektor tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga hidro, serta menarik pelaburan dalam industri berat.
Inisiatif ini juga membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan membantu merapatkan jurang pembangunan antara kawasan luar bandar dan bandar di Sarawak.
HALAL
Tambahan daripada itu Pak Lah juga terkenal dengan usaha memperkasakan industri makanan halal di Malaysia. Atas keprihatinannya juga, maka Halal Development Corporation telah ditubuhkan pada 2006.
Dalam hal ini dibawah kepimpinan beliau, Malaysia telah mengadakan Forum Halal Sedunia pada 2006. Forum ini diadakan untuk memperkenalkan Malaysia sebagai peneraju industri halal terutama dalam pengeluaran sijil halal.
Idea beliau ini menjala juga ke Sarawak. Hal ini boleh dilihat dengan inisiatif kerajaan negeri telah menubuh satu kawasan hab halal di Tanjung Manis. Pada 18 Februari 2009 Pak Lah telah merasmikan Hab Halal Tanjung Manis.
Pembukaan hab halal ini telah menarik 11 syarikat dalam dan luar negara untuk melabur di hab halal Tanjung Manis.
Catatan ini hanya sebahagian sahaja sumbangan besar Pak Lah kepada Sarawak. Jasanya akan kekal sebagai ingatan sejarah yang manis bagi rakyat Sarawak hasil dasar beliau yang prihatin kepada pembangunan dan kemajuan Sarawak.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)