
KUCHING: Sarawak bakal menjadi tuan rumah bagi Olimpik Khas Negeri Sarawak ke-7 2025 dari 2 hingga 5 Mei ini, melibatkan penyertaan seramai 800 atlet dan pegawai kejohanan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, temasya tersebut akan mempertandingkan tujuh acara sukan utama iaitu olahraga, renang, badminton, bowling, bocce, bola sepak dan ping pong yang kesemuanya akan berlangsung di sekitar Kuching.
“Special Olympics ini bukan sahaja membuktikan kemampuan atlet berkeperluan khas, malah meraikan semangat kesukanan dan inklusiviti di Sarawak,” katanya semasa berucap di majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Penyampaian Geran serta Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) di Hikmah Exchange Event Centre pada Isnin.
Dalam majlis yang sama, Dato Sri Fatimah turut mengumumkan kejayaan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dari institusi di bawah JKMS, apabila 11 daripada 14 pelajar lulus dengan cemerlang.
Mereka terdiri daripada penghuni Sekolah Tunas Bakti Kuching, Asrama Akhlak Lelaki dan Perempuan Kuching, Taman Seri Puteri Kuching, Rumah Kanak-kanak Datuk Ajibah Abol Sri Aman, dan Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah Kuching.
Beliau turut memaklumkan perkembangan mengenai kemasukan Indikator “K” dalam kad pengenalan kanak-kanak angkat.
Sehingga 23 April 2025, JPN Negeri Sarawak telah menerima 24 permohonan melibatkan kes anomali, susulan kelulusan dasar tambahan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 26 September 2024.
“Dasar ini amat penting untuk memastikan kanak-kanak yang diangkat oleh warganegara Sarawak dengan indikator ‘K’ mendapat hak sewajarnya tanpa mengira latar belakang kelahiran mereka,” jelasnya.
Sementara itu, program Kenyalang Gold Card (KGC) turut meraikan ulang tahun ke-5 tahun ini dengan pencapaian membanggakan.
“Sehingga kini, lebih 320,000 warga emas telah berdaftar sebagai pemegang KGC dengan 1,063 rakan strategik berdaftar menawarkan pelbagai manfaat dan diskaun.
“Sebanyak RM67.5 juta juga telah disalurkan menerusi Bantuan Ihsan Kematian (BIK) kepada waris-waris pemegang KGC sepanjang lima tahun pelaksanaannya,” tambahnya lagi.
Majlis turut menyaksikan penyampaian pelbagai geran dan bantuan termasuk Anugerah Pelajar Cemerlang kepada 11 pelajar, geran kepada 10 pertubuhan sukarela, bantuan bulanan kepada 20 individu, pelantikan 10 klinik panel SCHB, serta penyerahan kad KGC kepada lima penerima baharu. -UKAS