
MIRI: Tidak berpuas hati dengan proses penukaran mata wang asing ditolak, seorang lelaki warga asing bertindak mengugut bunuh seorang pekerja sebuah syarikat pertukaran mata wang asing di sini, semalam.
Bagaimanapun, perbuatan lelaki itu menerima padah apabila dia ditahan polis.
Ketua Polis Daerah, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang wanita tempatan menyatakan telah diancam bunuh oleh suspek warganegara asing.
Selepas itu, katanya pengadu telah hadir ke Balai Polis Pusat Miri untuk membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.
“Tangkapan dibuat di pekarangan Balai Polis Pusat Miri setelah suspek menyerah diri kepada pihak polis.
“Satu kertas siasatan telah dibuka dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Farhan berkata, permohonan reman suspek telah diluluskan oleh Mahkamah Miri selama selama empat hari untuk membantu siasatan.
Katanya, setelah siasatan selesai, suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Miri hari ini untuk dibacakan pertuduhan.
“Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Miri Sandy Yvette Freddy dan suspek telah diwakili oleh peguam yang dilantik olehnya sendiri.
“Arahan Mahkamah, suspek diberikan ikat jamin RM2,000 untuk seorang penjamin yang tinggal tetap di Malaysia dan suspek hendaklah melaporkan diri di Balai Polis terdekat iaitu Balai Polis Lutong sekali setiap bulan sehingga kes selesai,” katanya.
Kes ini akan disebut semula pada 8.30 pagi 28 Mei ini.
Sementara itu, Mohd Farhan berkata pihak polis menasihati masyarakat untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan memviralkan isu sensitif di media sosial yang mana ia boleh menimbulkan kerisauan di kalangan masyarakat tempatan serta menggangu siasatan pihak polis.
“Individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berkaitan insiden ini diminta untuk tampil ke Balai Polis yang berdekatan untuk membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Nor Sharilazuwan Mohammad di talian 011-23321957 bagi menyalurkan maklumat berkaitan,” ujarnya.
Oleh Liong Chai Ling