
SARATOK: Sarawak kini sedang giat untuk mendidik golongan petani berubah daripada cara tradisional kepada cara baharu dalam aktiviti tanaman padi dengan teknologi moden masa kini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata konstituensi tersebut juga tidak mahu ketinggalan dalam menyahut seruan kerajaan Sarawak untuk menjadi negeri pengeluar beras selain menjamin bekalan beras mencukupi untuk keperluan rakyat Sarawak.
“Kilang memproses beras akan dibangunkan di Skim Padi Kampung Kaba dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka, dimana projek ini telah dirancang di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
“Projek yang bernilai RM4.8 juta keseluruhan itu melibatkan skop pembinaan kilang beras, pembinaan akses jalan dan sistem pengairan skim tersebut.
“Selain jumlah itu, pembinaan bekalan elektrik 11 kilovolt (kV) dan pemasangan alatubah (transformer) serta kerja-kerja yang berkaitan,” katanya semasa mengadakan lawatan tapak bagi pembinaan kilang memproses beras di Skim Padi Kampung Kaba, semalam.
Mohamad Duri berkata dengan projek pembinaan kilang beras ini nanti, ia akan bakal memanfaatkan petani sedia ada di lokaliti tersebut dengan mengaktifkan serta merancakkan semula aktiviti penanaman padi.
“Kita perlukan teknologi baharu dan juga benih baharu (benih hibrid) yang mampu mengeluarkan hasil yang lebih banyak, jesteru DUN Kalaka sememangnya memerlukan sebuah kilang beras untuk tujuan itum
“Menurut ucapan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru-baru ini, beliau optimis usaha kaedah baharu penanaman benih padi hybrid akan meningkatkan hasil pengeluaran beras dari negeri ini.
“Dimana mengunakan kaedah baharu itu telah menunjukkan bahawa satu hektar padi mampu mengeluarkan lapan tan padi dalam satu musim berbanding kaedah lama yang hanya boleh mengeluarkan satu tan sahaja.
“Kajian juga sedang dibuat untuk mengeluarkan benih hybrid yang mencukupi untuk kegunaan di seluruh Sarawak,” jelasnya.
Turut hadir Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid, Kaunselor Kasdi Pandi, Kaunselor Majid Amit Zainuddin, Ketua Kampung Kaba, Ahmad Diwi Deli serta agensi-agensi kerajaan berkaitan.
Oleh Adi Safarman