
SIBU: Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Raden Sigit Witjaksono, secara rasminya akan menamatkan perkhidmatannya di Sarawak pada 30 April, menggesa kerjasama berterusan antara kerajaan Sarawak dan Indonesia.
Menurutnya, beliau telah menyaksikan kemajuan yang ketara antara Sarawak dan Indonesia sepanjang tempoh tiga tahun di negeri ini.
“Ini adalah termasuk sektor ekonomi, sosial, budaya, pendidikan, penjagaan kesihatan, pelancongan, ketersambungan pengangkutan dan infrastruktur.
“Justeru, saya berharap agar usaha yang dilakukan sejak tiga tahun lalu tidak berakhir di sini sebaliknya diteruskan.
“Ini baru permulaan, masih banyak yang perlu dilakukan. Saya akan menasihati pengganti saya, Konsul Jeneral yang baharu, untuk membuat susulan ke atas inisiatif ini demi manfaat Sarawak dan Indonesia, serta seluruh kepulaun Borneo,” katanya.
Beliau berkata semasa berucap pada majlis makan malam penghargaan sempena berakhirnya perkhidmatan beliau sebagai Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching, di sebuah hotel terkemuka, malam tadi.
Raden turut mengakui bahawa bandar Sibu telah menjadi seperti rumah keduanya, dengan banyak kerjasama berlaku, terutama semasa Festival Kebudayaan Borneo (BCF), di mana beliau membawa penari dari Indonesia untuk berkongsi budaya mereka.
“Saya dengan ikhlas mengiktiraf semua kerjasama yang diberikan kepada saya dan pihak konsulat. Saya menggalakkan semua orang untuk tidak berhenti di sini, kita mesti terus bergerak ke hadapan.
“Saya mengharapkan semangat yang sama daripada rakan-rakan saya di konsulat. Sibu akan sentiasa kekal di hati saya dan isteri (Lucy Octivia Witjaksono). Jika ada peluang, kami pasti akan berkunjung ke rumah kedua kami (Sibu),” katanya.
Majlis tersebut telah dihadiri tetamu jemputan terdiri daripada agensi dan institusi berbeza. Ini adalah termasuk kakitangan dan pelajar Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Jaya Tiasa Holding Bhd, Rimbunan Sawit Bhd, Mafrica Group of Companies, Ta Ann Playwood Sdn Bhd, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sibu (SCCCI), Subur Tiasa Holding Bhd serta yang lain.
Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Rimbunan Hijau, Datuk Tiong Thai King, Naib Canselor Universiti Teknologi Sarawak (UTS) Prof Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid serta yang lain.
Oleh Akun Giman