
LIMBANG: Aktiviti lumba haram dan merempit yang semakin menular di Limbang mendapat perhatian serius Jawatankuasa Keselamatan Jalan Raya Bahagian Limbang.
Pengerusi JKJR Bahagian Limbang yang juga Residen Limbang Yunus Tambi berkata, orang ramai melahirkan kebimbangan menerusi media sosial mengenai aktiviti merempit dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera menangani masalah itu.
“Saya mendengar juga, dan mendapat maklumat (aktiviti merempit) daripada media sosial, dan saya harap pihak berkuasa dapat membuat rondaan atau tindakan perlu.
“Walaubagaimanapun saya akan hubungi pihak berkuasa untuk menangani aktiviti tersebut,” katanya ketika ditemui media pada majlis Ramah Tamah Aidilfitri Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota- Anggota Kerajaan Sarawak (MAKSAK) Bahagian Limbang, hari ini.
Aktiviti melibatkan pemilik motosikal yang mengubah suai kenderaan juga perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa untuk kedua-dua daerah Limbang dan Lawas.
Yunus turut memberitahu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Limbang sudah diarah untuk meletakkan papan tanda keselamatan di jalan-jalan di Limbang seperti yang dibincangkan dalam mesyuarat sebelum ini.
“Penambahan papan tanda di jalan-jalan di bahagian Limbang telahpun kita bincangkan dalam mesyuarat bulan lepas, JKR telahpun diarahkan untuk meletakkan papan tanda dan sebahagiannya dalam proses untuk dibuat dan ada yang dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata ia selaras dengan usaha pihaknya untuk menambah baik papan tanda keselamatan termasuk mematuhi spesifikasi ditetapkan.
Turut hadir Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal.
Oleh Adeng Edrus