
Pemain Liverpool, Mohamed Salah meraikan jaringan ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Tottenham di Anfield, Liverpool.
LIVERPOOL: Wira Mesir dan tonggak Liverpool, Mohamed Salah, terus mengukir nama sebagai antara pemain terhebat di Anfield apabila membantu kelab itu menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) menerusi salah satu musim yang hebat dalam sejarah pemain itu.
Penyerang berusia 32 tahun itu meledak 28 gol dan mencipta 18 bantuan jaringan setakat ini, sekali gus membantu Liverpool menyamai rekod 20 kejuaraan liga utama England milik Manchester United.
Salah dijangka merangkul Anugerah Pemain Terbaik Tahunan buat kali ketiga daripada rakan sepasukan dan penulis sukan, dan namanya kini disebut-sebut sebagai calon utama dalam perdebatan mengenai siapa pemain terbaik sepanjang zaman era EPL.
Menariknya, dalam musim pertama di bawah kendalian Arne Slot, Salah menjadi pencetus kepada kejayaan mengejut Liverpool menawan takhta liga.
“Ini bukan kebetulan. Sejak hari pertama saya tiba di sini, kami menjalankan ujian kecergasan dan dia adalah pemain paling cergas dalam skuad.
“Itu menunjukkan betapa dia sudah bersedia untuk menghadapi musim ini. Ia juga menggambarkan keperibadiannya yang luar biasa,” kata Slot.
Jumlah keseluruhan 46 gol dan bantuan jaringan yang direkodkan Salah musim ini adalah satu rekod baharu EPL bagi musim membabitkan 38 perlawanan, dan rekod sepanjang zaman iaitu 47 dijangka bakal diatasi sebelum musim berakhir.
Dengan 185 gol, Salah kini menduduki tempat kelima dalam senarai penjaring terbanyak dalam sejarah EPL dan turut berada dalam kelompok 10 teratas bagi bantuan jaringan.
Menariknya, Salah bukanlah bintang ternama ketika tiba di Anfield selepas Liverpool membayar £34 juta (RM200 juta) kepada Roma bagi mendapatkan khidmatnya pada 2017.
Dia pantas diberi gelaran “Raja Mesir” di Merseyside dan mula menjulang pelbagai kejuaraan.
Salah pernah meninggalkan pentas final Liga Juara-Juara 2018 menentang Real Madrid dengan linangan air mata selepas mengalami kecederaan bahu pada babak pertama, yang turut menjejaskan prestasinya bersama Mesir di Piala Dunia beberapa minggu kemudian. – AFP