
KOTA SAMARAHAN: Peranan sukarelawan mahasiswa dilihat semakin penting dalam membangunkan kesejahteraan sosial masyarakat di Sarawak.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah, aktiviti sukarelawan seperti yang digerakkan dalam program Unimas: Inisiatif Bakti 2025 memberi sumbangan besar dalam memastikan tiada golongan terpinggir, sejajar dengan aspirasi Sarawak meningkatkan Social Wellbeing Index negeri kepada 8.0.
“Berdasarkan kajian terbaru, Social Wellbeing Index Sarawak telah meningkat kepada 7.2.
“Aktiviti sukarelawan membantu menambah baik kesejahteraan komuniti, terutama dalam kalangan golongan kurang berkemampuan dan terpinggir.
“Usaha seperti ini amat kami galakkan kerana ia menyumbang secara langsung kepada matlamat negeri Sarawak untuk memperkasa rakyat dari semua lapisan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penutupan Unimas Inisiatif Bakti 2025, di sini hari ini.
Beliau turut menekankan bahawa penyertaan mahasiswa dalam program luar bilik kuliah seperti inisiatif bakti ini amat penting dalam membentuk graduan holistik yang berkemahiran sosial dan berdaya saing.
“Kita mahu mahasiswa bukan sahaja fokus kepada ilmu akademik dalam kuliah dan makmal, tetapi juga mampu keluar ke lapangan, berinteraksi dengan masyarakat dan membina soft skills.
“Pengalaman ini lebih bernilai daripada wang ringgit kerana ia membentuk keperibadian dan daya tahan pelajar untuk masa depan.
“Mahasiswa yang berpeluang turun ke lapangan akan memiliki kelebihan berbanding mereka yang hanya menumpukan kepada akademik semata-mata,” jelasnya
Tambah beliau, sifat keikhlasan dalam kerja sukarelawan merupakan faktor penting yang menjadikan aktiviti itu berdaya tahan dan memberi kesan mendalam kepada masyarakat.
“Sukarelawan melakukan tugas mereka dengan keikhlasan hati, bukan kerana paksaan atau ganjaran.
“Sebab itu, kerja sukarelawan lebih mampan dan berkualiti tinggi, walaupun berdepan dengan cabaran.
“Dorongan dalaman inilah yang menjadikan gerakan sukarelawan sangat berharga kepada pembangunan sosial negeri kita,” tambahnya.
Beliau turut memuji Unimas kerana berjaya mempelopori penganjuran program sukarelawan berskala besar melalui Inisiatif Bakti, sekali gus membuka jalan untuk universiti lain mengikut jejak langkah yang sama.
“Saya bangga Unimas telah ‘break the glass ceiling’ dalam menggerakkan gerakan sukarelawan mahasiswa.
“Anda telah menunjukkan bahawa anak muda kita bukan sahaja pentingkan kejayaan peribadi, tetapi juga kesejahteraan masyarakat.
“Ini adalah platform terbaik untuk memperkasakan nilai kemanusiaan dalam kalangan generasi akan datang,” ujarnya.
Program Unimas: Inisiatif Bakti 2025 yang melibatkan lebih 1,500 mahasiswa itu mencipta sejarah apabila berjaya dilaksanakan selama 48 jam tanpa henti, dan mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records.
Oleh Masrin Affirah