
KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) mencipta sejarah apabila berjaya melaksanakan program sukarelawan Unimas: Inisiatif Bakti, iaitu satu siri aktiviti khidmat masyarakat selama 48 jam tanpa henti, sekali gus menembusi Malaysia Book of Records bagi kategori “The Longest Continuous Volunteerism Activities”.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah, pencapaian tersebut membuktikan kekuatan nilai kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa Unimas.
“Apa yang dilakukan 1,500 pelajar ini amat berimpak besar terhadap masyarakat. Mereka bukan sahaja menimba ilmu di universiti, tetapi juga menunjukkan semangat compassion dan berbakti kepada komuniti.
“Program ini sangat unik dan saya berharap ia menjadi contoh kepada universiti lain di Sarawak dan Malaysia.
“Ini membuktikan bahawa anak muda kita mampu melangkaui akademik dan menjadi agen perubahan sosial,” katanya ketika berucap menyempurnakan majlis penutupan Unimas Inisiatif Bakti 2025 dan Penganugerahan Malaysia Book of Records, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Unimas, Profesor Ir Ts Dr Al-Khalid Othman, menyatakan bahawa kejayaan ini membuktikan komitmen universiti dalam memperkukuh hubungan dengan komuniti.
“Program ini melambangkan Unimas sebagai ‘Community-Driven University for a Sustainable World’.
“Ia memperlihatkan bagaimana mahasiswa bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mampu menjadi ejen perubahan sosial di lapangan.
“Hubungan erat antara universiti dan komuniti adalah tonggak penting dalam melahirkan graduan holistik,” jelasnya.
Selain itu, Pengarah Program Inisiatif Bakti, Muhammad Faiz Farhan Yusnizam, menjelaskan bahawa program itu lahir daripada inisiatif mahasiswa sendiri dan digerakkan dengan penuh komitmen.
“Inisiatif ini bukan sekadar program untuk mencipta rekod, tetapi lahir dari hasrat untuk menyentuh hati komuniti dan menyampaikan makna sebuah universiti rakyat.
“Kami menggerakkan 21 subprogram dalam masa 48 jam, yang melibatkan khidmat masyarakat, pendidikan, advokasi dan kelestarian alam sekitar.
“Setiap usaha ini membuktikan bahawa keikhlasan mampu membentuk perubahan besar dalam masyarakat,” ujarnya.
Program tersebut melibatkan lebih 1,500 mahasiswa yang menggerakkan 21 subprogram di sekitar Kota Samarahan dan Kuching, termasuk kerja khidmat komuniti, pendidikan, advokasi sosial dan pemeliharaan alam sekitar.
Inisiatif tersebut turut mendapat sokongan rakan strategik seperti TM One, YKL and Y Enterprise, Cacosa Sdn Bhd, JAKIM Sarawak, Unimas Holdings dan Zus Coffee, serta komuniti luar termasuk Kampung Muhibbah, SMK Kota Samarahan, Rumah Seri Kenangan dan Sama Jaya Forest Park.
Oleh Masrin Affirah